KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Jumlah pelawat termasuk pelawat antarabangsa ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Taman Hutan Selangor (FRIM-FPS) meningkat mendadak sejak ia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 11 Julai 2025.
Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Ismail Parlan berkata jumlah pelawat ke tapak warisan dunia UNESCO itu meningkat kepada 270,849 orang pada 2025 berbanding hanya kira-kira 100,000 sehingga 159,000 orang pada tahun-tahun sebelumnya.
“Terdapat peningkatan mendadak pelawat antarabangsa dari Eropah, Amerika Syarikat dan Asia, terutamanya dari negara China,” katanya semasa menjadi tetamu menerusi program Ruang Bicara terbitan Bernama TV.
Beliau berkata bagi memastikan pengalaman pelawat sentiasa berkualiti tanpa menjejaskan ekosistem tapak warisan itu yang menyambut ulang tahun pertamanya tahun ini, FRIM mengehadkan kemasukan ke kawasan utama kepada hanya 400 pengunjung sehari menerusi sistem tempahan dan lawatan berpandu.
"Kita tidak mahu apabila pelancong datang, mereka bersesak-sesak sehingga tidak dapat menikmati keindahan FRIM. Kita mahu memberikan pengalaman ekopelancongan terbaik kepada setiap pelawat," katanya.

Ismail berkata pengiktirafan UNESCO turut mengukuhkan komitmen FRIM selama 100 tahun dalam memelihara kawasan hutan buatan manusia tropika yang terbesar dan terawal di dunia itu, hasil usaha pemulihan kawasan bekas lombong sejak 1926.
Beliau berkata FRIM hari ini bukan sahaja menjadi pusat penyelidikan perhutanan bertaraf dunia, malah menawarkan pelbagai produk ekopelancongan termasuk fenomena malu-malu silara (crown shyness), jejantas rimba, denai hutan, galeri penyelidikan, rumah tradisional dan aktiviti rekreasi yang dikendalikan jurupandu alam bertauliah.
"Kita ada lebih kurang 70 orang jurupandu alam berlesen dan maklum balas yang diterima menunjukkan pelawat amat berpuas hati dengan penerangan serta pengalaman yang ditawarkan di FRIM," katanya.
Beliau berkata FRIM juga memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pelancongan negara bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, yang menawarkan pengalaman pelancongan berasaskan alam semula jadi yang unik berhampiran ibu negara.

Selain itu, bagi melindungi hutan FRIM yang merupakan tempat pemuliharaan spesies-spesies tumbuhan terancam, Ismail menegaskan setiap pengunjung wajib menggunakan Jurupandu Alam (Nature Guide), membuat tempahan lawatan lebih awal serta memastikan kebersihan hutan sentiasa terjaga.
"Sampah perlu diuruskan dengan baik dan kita perlu kurangkan penggunaan plastik sekali guna kerana akhirnya ia memberikan kesan kepada alam sekitar dan kehidupan manusia sendiri," katanya.
FRIM Forest Park Selangor secara rasmi telah melakar sejarah baharu negara apabila diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang pertama di Selangor, dan yang keenam di Malaysia pada 11 Julai tahun lalu.
Pengiktirafan berprestij itu disahkan pada mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia (WSC) UNESCO di Paris, Perancis selepas proses pencalonan dan penilaian ketat dijalankan sejak 2017.
"Bagi kita mencapai status yang tinggi ini bukan satu kerja yang mudah. Ia melibatkan proses panjang, detik penat dan getir yang perlu kita lalui sebelum sampai ke titik pengiktirafan antarabangsa. Ini adalah kebanggaan buat negara kita," katanya.








