SHAH ALAM, 27 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menegaskan cadangan pembinaan pusat data komersial tiga tingkat di Kota Damansara masih di peringkat penilaian dan belum menerima sebarang kelulusan.
Sehingga 21 Julai lalu, MBPJ menerima kira-kira 290 bantahan rasmi terhadap cadangan pembangunan di Jalan Rimba Riang 9/6 yang melibatkan 18 lot tanah milik persendirian bersebelahan rizab jalan kerajaan.
MBPJ memaklumkan tempoh maklum balas awam yang berakhir hari ini dilanjutkan selepas pihak berkuasa mengarahkan pemaju membetulkan kesilapan pada papan notis asal.
Menurutnya, aduan orang ramai mendapati papan notis berkenaan memaparkan nombor rujukan serta maklumat pegawai untuk dihubungi yang tidak tepat sehingga menyukarkan penduduk mengemukakan pandangan.
"Susulan itu, MBPJ mengeluarkan arahan rasmi pada 15 Julai supaya pemaju membetulkan kesilapan berkenaan, sekali gus melanjutkan tempoh maklum balas daripada 21 hingga 27 Julai, berbanding tempoh asal 9 hingga 15 Julai," katanya seperti dilapor StarMetro.
Pada 17 Julai, MBPJ turut mengeluarkan notis mendapatkan pandangan khusus kepada 11 pemilik rumah dalam lingkungan 20 meter dari tapak cadangan selain menghantar notis kepada Ahli Parlimen Sungai Buloh, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara dan pejabat Ahli Majlis Zon 3 MBPJ.
Pihak berkuasa tempatan itu menjelaskan permohonan berkenaan belum dibawa ke Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) dan hanya akan dipertimbangkan selepas semua maklum balas awam serta ulasan agensi teknikal diterima.
MBPJ berkata satu sesi taklimat pembangunan akan diadakan dalam tempoh 30 hari selepas tamat tempoh notis bagi memberi penjelasan kepada semua pihak yang mengemukakan maklum balas atau bantahan.
Menurut MBPJ, tapak berkenaan dikategorikan sebagai zon perniagaan dan perkhidmatan serta rizab pengangkutan mengikut Pelan Tempatan Petaling Jaya 2 (Pindaan 3).
Kesesuaian pembangunan pula dinilai berdasarkan Garis Panduan Perancangan Pusat Data 2024 yang menetapkan zon penampan selebar 50 meter antara bangunan pusat data dan lot kediaman.

Sementara itu, penduduk mendakwa hanya mengetahui mengenai cadangan projek berkenaan selepas melihat papan notis di lokasi, selain mempersoalkan tempoh singkat yang diberikan untuk mengemukakan bantahan.
Penduduk Seksyen 9 Fasa 1, Mohd Razif Mohd Lazim berkata beliau hanya menyedari kewujudan notis itu ketika berjalan kaki pada 14 Julai, sehari sebelum tarikh akhir bantahan yang dipaparkan pada notis asal, sebelum memaklumkan perkara itu kepada gabungan penduduk untuk tindakan lanjut.
Seorang lagi penduduk, Foo Kwan Pheng, mendakwa cadangan pembangunan itu melibatkan kawasan yang melepasi sempadan tanah persendirian sehingga memasuki rizab jalan kerajaan.
Beliau berkata sebarang pembangunan di atas rizab jalan memerlukan kelulusan kerajaan negeri dan berpotensi menjejaskan rancangan pelebaran jalan pada masa hadapan.
Gabungan Penduduk Kota Damansara yang mewakili lebih 500 isi rumah turut mengemukakan bantahan atas alasan projek berkenaan terlalu hampir dengan kawasan kediaman.
Jurucakap gabungan itu, Narindera Pall Singh berkata antara kebimbangan utama ialah bunyi bising daripada operasi 24 jam, kesan haba, penggunaan tenaga yang tinggi, impak terhadap Hutan Komuniti Kota Damansara serta peningkatan trafik dan isu keselamatan jalan raya.
Beliau turut mempersoalkan tempoh bantahan awam selama tujuh hari yang menurutnya berbeza dengan tempoh 21 hari seperti diperuntukkan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
Dalam perkembangan sama, Ahli Majlis Zon 3 MBPJ Muhamad Shazwan Suhaimi dan Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R Ramanan mengesahkan masing-masing telah mengemukakan surat bantahan rasmi kepada MBPJ.
Mereka turut menggesa semua laporan teknikal didedahkan kepada orang ramai serta sesi pendengaran awam diadakan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Pada 23 Julai lalu, Media Selangor melaporkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim akan membangkitkan isu cadangan pembinaan pusat data itu pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) yang bermula 3 Ogos ini.
Beliau turut mengesahkan telah mengemukakan bantahan rasmi kepada MBPJ susulan kebimbangan yang disuarakan penduduk terhadap cadangan pembinaan pusat data komersial berhampiran kawasan perumahan di Kota Damansara.
Menurut Izuan, suara dan pandangan penduduk perlu diberi perhatian dalam sebarang cadangan pembangunan yang berpotensi memberi kesan kepada komuniti setempat.









