PETALING JAYA, 27 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membelanjakan RM4.43 juta bagi membangunkan Kompleks Pembangunan Usahawan The Pod@ PJ D’Cecawi bagi menyusun semula 57 penjaja tanpa lesen di sekitar Jalan Cecawi 6/19A, Kota Damansara.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata pembangunan kompleks berkeluasan 27,284 kaki persegi itu bertujuan menyediakan ruang perniagaan lebih tersusun dan selesa selain menyelesaikan isu menjaja di bahu jalan.
Menurutnya, kewujudan kompleks berkenaan turut memberi penyelesaian terhadap beberapa isu bandar seperti kekurangan parkir, pembuangan sampah haram serta kesesakan lalu lintas yang sebelum ini berlaku akibat aktiviti penjajaan di kawasan terbabit.

“Kompleks juga menyediakan 57 unit gerai merangkumi 32 unit gerai jenis dine-in dan 25 unit gerai take-away bagi menempatkan semua penjaja yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kompleks tersebut, tengah hari tadi.
Beliau berkata, kompleks berkenaan dijangka mula beroperasi pada September ini dengan aspek kebersihan dan keselamatan makanan diberi perhatian bagi memastikan persekitaran perniagaan yang lebih berkualiti.
“Semua peniaga diwajibkan mendapatkan suntikan tifoid bagi memastikan standard keselamatan makanan dan kesihatan awam dalam kalangan peniaga sentiasa terjamin.
“Saya juga telah meminta Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBPJ untuk melihat kaedah menghidupkan kompleks ini sebagai contoh menyediakan ruangan nyanyian band muzik bagi memeriahkan serta merancakkan aktiviti perniagaan di sini,” katanya lagi.

Mohamad Zahri berkata, kompleks itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk pusat kitar semula, tandas dan surau mesra orang kurang upaya (OKU), selain ruang kanak-kanak sejajar aspirasi Petaling Jaya sebagai Bandar Mesra Kanak-Kanak.
Katanya, penempatan semula 57 peniaga ke kompleks berkenaan bukan sahaja menyediakan lokasi perniagaan lebih teratur, malah membolehkan MBPJ menjana anggaran hasil RM150,000 setahun melalui kutipan lesen, sewaan gerai dan kemudahan tempat letak kereta.









