SHAH ALAM, 30 JULAI: Pelatih orang kurang upaya (OKU) di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sofea, Damansara Damai kini menikmati kemudahan pemulihan yang lebih baik menerusi sumbangan mesin simulasi terapi berkuda daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling berkata sumbangan tersebut membolehkan pelatih menjalani terapi di pusat berkenaan tanpa perlu dihantar ke pusat terapi berkuda di luar kawasan seperti sebelum ini.
Beliau berkata kemudahan tersebut bukan sahaja memudahkan proses pemulihan, malah membantu mengurangkan kos pengangkutan yang sebelum ini ditanggung keluarga pelatih.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan MBI atas keprihatinan dan kelulusan segera bagi bantuan ini. Sumbangan ini dapat terus dimanfaatkan oleh anak-anak istimewa di sekitar Damansara Damai yang sememangnya memerlukan kemudahan tersebut.
"Sebelum ini mereka terpaksa dihantar ke pusat terapi di luar kawasan yang memerlukan kos pengangkutan. Kini pelatih boleh mendapatkan terapi secara terus di PPDK Sofea, sekali gus meringankan beban ibu bapa," katanya selepas majlis penyerahan mesin simulasi terapi berkuda di pusat rehabilitasi itu, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi PPDK Sofea, Shaiful Azmi Ismail berkata pihaknya bersyukur apabila permohonan mendapatkan mesin berkenaan diluluskan dalam tempoh singkat bagi memenuhi keperluan pelatih.

Menurutnya, pusat itu menerima antara 58 hingga 60 pelatih setiap tahun dan majoritinya daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), justeru penyediaan kemudahan terapi di premis sendiri memberi manfaat besar kepada mereka.
"Permohonan kami tidak sampai beberapa bulan sudah diluluskan dan hari ini menjadi detik yang amat bermakna kerana keperluan anak-anak istimewa akhirnya dapat dipenuhi.
"Peralatan terapi seperti ini amat diperlukan, namun kos mendapatkannya sangat tinggi," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata PPDK Sofea menyediakan perkhidmatan kepada pelatih dari Damansara Damai, Sungai Buloh, Kota Damansara, Sungai Penchala dan Sri Damansara membabitkan kanak-kanak berusia tiga hingga sembilan tahun, manakala mereka yang masih memerlukan pemulihan akan terus dibimbing sehingga berusia 13 tahun.
Shaiful Azmi berkata mesin simulasi terapi yang diimport dari luar negara itu meniru pergerakan menunggang kuda bagi membantu proses pemulihan fizikal tanpa perlu membawa pelatih ke pusat terapi berkuda.
Katanya, mesin berkenaan sesuai digunakan oleh pelatih yang mengalami masalah tulang belakang dan anggota bawah badan kerana mampu meningkatkan keseimbangan, koordinasi pergerakan serta keyakinan diri sepanjang sesi terapi.
"Ia sesuai untuk pelatih yang mempunyai masalah tulang belakang dan anggota bawah badan. Selain membantu pergerakan, mesin ini juga mengurangkan rasa gayat serta meningkatkan keyakinan mereka.
"Ada kanak-kanak yang takut memijak permukaan tertentu seperti pasir. Melalui terapi yang sesuai, mereka dapat meningkatkan keupayaan deria dan pergerakan secara berperingkat," katanya.
Terdahulu, Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor menyerahkan mesin simulasi terapi berkuda bernilai lebih RM13,000 kepada PPDK Sofea bagi membantu meningkatkan kualiti pemulihan kanak-kanak OKU.








