SHAH ALAM, 12 OKT: Karnival Kerjaya Jobcare Istimewa Selangor 2026 membuka peluang kepada golongan rentan termasuk orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan pekerjaan dan menjana pendapatan menerusi pertemuan secara langsung dengan majikan.
Bagi Mohamad Norazmeer Idris, 22, karnival itu menjadi ruang untuk meneroka alam pekerjaan selepas sekian lama memberi tumpuan kepada bidang sukan sebagai atlet paralimpik boccia.
Anak kelahiran Perak yang menetap di Selangor itu hadir ke karnival atas ajakan jurulatihnya selepas meraih pingat perak pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Selangor baru-baru ini.

“Sebelum ini saya fokus kepada sukan sahaja dan alhamdulillah dapat pingat perak baru-baru ini. Sekarang saya mahu mencari kerja supaya mempunyai sumber pendapatan sendiri.
“Saya lebih berminat dalam bidang suntingan video kerana pernah melakukan kerja sambilan seperti merakam video untuk jualan di TikTok.
“Saya berharap ada majikan yang sudi mengambil saya bekerja. Apa-apa kerja pun saya tidak kisah, asalkan diberi peluang,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui pada Karnival Kerjaya Jobcare Istimewa Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, semalam.
Norazmeer yang menghidap palsi serebrum berkata dirinya belum pernah bekerja dengan majikan dan berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan bagi membantu lebih ramai golongan OKU mendapatkan pekerjaan.

Sementara itu, graduan kejuruteraan dari salah sebuah institusi pengajian tinggi awam, Nurul Fatin Najwa Ahmad Hishamuddin, 23, berkata beliau hadir bersama keluarga untuk mencari peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
Beliau yang pertama kali menghadiri karnival kerjaya itu mengetahui mengenai program tersebut daripada ibunya yang pernah menyertai program pembangunan usahawan Platform Selangor (PLATS).
“Program ini sangat memudahkan pencari kerja kerana kita boleh berjumpa dan berkomunikasi secara bersemuka dengan majikan.
“Saya berharap ada peluang pekerjaan yang sesuai dan inisiatif seperti ini memang wajar dipuji kerana membantu pencari kerja mendapatkan peluang secara terus,” katanya.
Karnival yang memberi tumpuan kepada golongan rentan itu menawarkan 3,568 kekosongan jawatan menerusi penyertaan 40 majikan daripada pelbagai sektor.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 1,603 jawatan disasarkan kepada Orang Asli, diikuti veteran (1,333), OKU (472) dan warga emas (160).









