PETALING JAYA, 30 JULAI: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI menyumbangkan sebuah mesin terapi kuda bernilai lebih RM13,000 kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sofea di Damansara Damai.
Ketua Yayasannya, Ahmad Azri Zainal Nor berkata mesin yang diimport khas dari luar negara itu akan digunakan bagi membantu proses terapi dan pemulihan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) di pusat berkenaan.
"Mesin terapi ini sangat penting bagi membantu terapi untuk anak-anak OKU yang ditempatkan di sini. Saya yakin ia akan digunakan sebaik mungkin supaya manfaatnya dapat kepada anak-anak itu.

"Ini merupakan permohonan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan YB (Yang Berhormat) Pua Pei Ling kepada pihak MBI dan Alhamdulillah kita dapat laksanakan pada hari ini," katanya kepada Media Selangor ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut beliau, PPDK Sofea sebelum ini menerima sumbangan tahunan daripada Yayasan MBI bagi menyokong pelaksanaan aktivitinya, namun mesin terapi berkenaan merupakan sumbangan pertama seumpamanya kepada pusat itu.
Dalam program berasingan, Yayasan MBI turut menyampaikan sumbangan ihsan sebanyak RM3,000 kepada setiap tiga keluarga yang terjejas dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Bukit Lanjan.

Ahmad Azri berkata bantuan berkenaan disalurkan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri bagi meringankan beban mangsa yang terkesan akibat kejadian yang dipercayai berpunca daripada litar pintas.
"Setiap mangsa menerima sumbangan ihsan sebanyak RM3,000 daripada Dato' Menteri Besar. Terpulang kepada mereka sama ada mahu menggunakan bantuan itu untuk membaiki rumah atau menampung keperluan kehidupan seharian," katanya.









