SHAH ALAM, 30 JULAI: Pelajar pendidikan khas Selangor bakal menggalas cabaran Malaysia pada Global IT Challenge (GITC) 2026 di Vietnam Oktober ini, sekali gus membuktikan kemampuan anak istimewa bersaing di pentas teknologi maklumat antarabangsa.
Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) Danial Al-Rashid Haron berkata, kontinjen berkenaan diraikan dalam satu majlis anjuran pertubuhan berkenaan hari ini sebagai tanda sokongan sebelum menyertai pertandingan itu.
“GITC merupakan pertandingan teknologi maklumat bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan pelajar pendidikan khas dari pelbagai negara bagi mempamerkan kemahiran digital, kreativiti serta inovasi.
“Penyertaan ini membuktikan bahawa anak-anak istimewa bukan sahaja mampu bersaing di peringkat kebangsaan, malah berpotensi mengharumkan nama negara di pentas dunia apabila diberi peluang, sokongan dan latihan yang sewajarnya,” katanya di Facebook hari ini.
Beliau berkata penyertaan itu mencerminkan potensi besar yang dimiliki pelajar istimewa ini untuk menyerlah dalam bidang teknologi apabila diberi ruang mengembangkan bakat masing-masing.
Danial yang juga merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga turut mendoakan agar seluruh kontinjen diberi kesihatan, ketenangan dan kejayaan sepanjang pertandingan.
“Semoga pulang membawa pengalaman berharga serta mengharumkan nama Selangor dan Malaysia. Selamat berjuang,” katanya.







