ad

8,000 murid berisiko tinggi mula terima vaksin influenza percuma di Selangor

18 Nov 2025, 4:16 AM
8,000 murid berisiko tinggi mula terima vaksin influenza percuma di Selangor
8,000 murid berisiko tinggi mula terima vaksin influenza percuma di Selangor
8,000 murid berisiko tinggi mula terima vaksin influenza percuma di Selangor

SHAH ALAM, 18 NOV: Fasa pertama pemberian vaksin influenza percuma yang bermula minggu lalu memanfaatkan 8,000 murid berusia lapan tahun ke bawah khususnya sekolah pendidikan khas.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata pemberian vaksin percuma itu diberikan kepada murid yang berisiko tinggi selepas mendapat persetujuan ibu bapa.

"Kita teliti pemberian vaksin fasa pertama yang memperuntuk RM1 juta melibatkan sehingga 20,000 dos. Kita anggarkan seramai 8,000 murid lapan tahun ke bawah terima vaksin yang mana mereka memerlukan dua dos, bukannya satu dos.

"Peringkat permulaan, kita mulakan dahulu di sekolah pendidikan khas untuk lihat peratusan persetujuan ibu bapa dan kemudian akan tentukan peruntukan fasa seterusnya.

"Kerajaan Negeri mahu peruntukan disediakan digunakan secara berkesan dan sebab itu mulakan dengan murid berisiko tinggi dahulu sebelum diperluas ke golongan sasaran lain dan menambah peruntukan," katanya menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan Dr Afif Bahardin pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin ketika sesi soal jawab lisan sempena Mesyuarat Ketiga Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas pada 18 November 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Jamaliah memaklumkan 3,239 kes influenza daripada 268 kluster direkodkan setakat 25 Oktober lalu dengan majoriti berpunca di institusi pendidikan dan selebihnya rumah persendirian.

Pada masa sama, Jamaliah menjelaskan pemberian vaksin percuma itu dilaksana melalui dua kaedah iaitu secara turun padang dan jumpa terus.

"Secara turun padang, ia dilaksanan di sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi memudahkan akses kepada pelajar berkeperluan khas yang mungkin menghadapi kekangan untuk hadir ke fasiliti kesihatan.

"Bagi jumpa terus pula, kaedah ini untuk pelajar lain yang memenuhi kriteria kelayakan tetapi tidak tergolong dalam kumpulan pelajar PPKI. Pelajar menerima vaksin melalui klinik panel Selcare yang terpilih dan janji temu dibuat menerusi aplikasi SELangkah," katanya.

Sebelum ini, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari memaklumkan Selangor memperuntukkan RM1 juta untuk suntikan vaksin Influenza A secara percuma di empat daerah iaitu Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling.

Berikut syarat penerima vaksin percuma:

  • Berumur 8 tahun dan ke bawah

  • Pendapatan isi keluarga bulanan tidak melebihi RM5,250

  • Mempunyai sekurang-kurangnya satu komorbid atau penyakit kronik

  • Warganegara dan penduduk Selangor atau bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun

  • Merupakan pelajar di Sekolah Kebangsaan termasuk Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Rendah Agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor dan Tadika KEMAS