PWS salur RM79,000 naik taraf surau, musolla sebagai pusat pembangunan ummah

19 Feb 2026, 1:30 PM
PWS salur RM79,000 naik taraf surau, musolla sebagai pusat pembangunan ummah
PWS salur RM79,000 naik taraf surau, musolla sebagai pusat pembangunan ummah
PWS salur RM79,000 naik taraf surau, musolla sebagai pusat pembangunan ummah

SHAH ALAM, 19 FEB: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyalurkan RM79,000 sumbangan wakaf fisabilillah sempena Bulan Wakaf Selangor bagi menyokong pembangunan prasarana ibadah dan pengisian ilmu sebagai pusat pembangunan ummah.

Menurut PWS, inisiatif itu bertujuan memastikan rumah ibadah berada dalam keadaan kondusif, selamat dan berfungsi dengan baik, selari dengan hasrat menjadikan institusi masjid dan surau sebagai nadi pembinaan sahsiah masyarakat.

“Daripada jumlah itu, RM49,000 disalurkan kepada Musolla Nurul Iman, Klang untuk kerja naik taraf pendawaian elektrik serta pemasangan sistem siar raya.

"Manakala RM30,000 lagi diperuntukkan kepada Surau Al-Azhar, Desa Mentari di Petaling Jaya bagi penggantian karpet baharu demi keselesaan jemaah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sebagai usaha menyemarakkan kefahaman masyarakat terhadap konsep wakaf, kuliah Subuh turut disampaikan kepada kedua-dua institusi agama berkenaan dengan menekankan wakaf sebagai amal jariah yang berterusan walaupun pewakaf sudah meninggal dunia.

PWS menjelaskan bahawa kekuatan wakaf bukan sahaja terletak pada pembangunan fizikal malah berperanan menghidupkan suasana ibadah dan menyuburkan budaya ilmu dalam komuniti setempat.

Dalam pada itu, PWS turut merakamkan penghargaan kepada semua pewakaf yang komited menyokong agenda pembangunan wakaf di Selangor dan berharap sumbangan mereka menjadi pemangkin kepada lebih banyak manfaat masyarakat serta ganjaran berpanjangan.