PWS salur RM99,000 wakaf fisabilillah baik pulih surau dua sekolah

5 Apr 2026, 9:28 AM
PWS salur RM99,000 wakaf fisabilillah baik pulih surau dua sekolah

SHAH ALAM, 5 APRIL: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyalurkan sumbangan wakaf fisabilillah RM99,000 kepada dua sekolah di negeri ini menerusi program Ziarah Raya.

PWS memaklumkan daripada jumlah itu, RM50,000 disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Salak Tinggi, manakala RM49,000 kepada SK Jaya Setia.

Menurutnya, sumbangan tersebut bertujuan membantu pihak pengurusan sekolah membaik pulih surau bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperluas impak wakaf ke sektor pendidikan, khususnya dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan inklusif.

“Sumbangan ini diharap dapat memberi manfaat langsung kepada pelajar serta menyokong keperluan fasiliti sekolah secara mampan,” menurut kenyataan itu.

Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Setia menerima sumbangan wakaf fisabilillah RM49,000 daripada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) untuk membaik pulih surau di sekolah berkenaan. Foto Facebook PWS

Sumbangan berkenaan disampaikan ketika program Ziarah Raya PWS yang diadakan di kedua-dua sekolah tersebut pada 2 April lalu.

PWS memaklumkan pendekatan itu bukan sahaja memperkasa institusi pendidikan, malah memperkukuh ekosistem wakaf sebagai pemacu kesejahteraan sosial berterusan.

“PWS menzahirkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua pewakaf yang melazimi ibadah wakaf. Alhamdulillah, anak-anak di kedua-dua sekolah ini telah menerima manfaat,” katanya.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang wakaf tunai melalui saluran rasmi PWS menerusi Wakaf Selangor Online dan aplikasi Wakaf Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.