SHAH ALAM, 30 JULAI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan Klang dan Kuala Langat sehingga jam 5 petang ini.
Amaran sama turut melibatkan seluruh Johor, selain beberapa kawasan di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman (Lubok Antu), Betong, Sarikei, Sibu (Kanowit), Mukah, Kapit (Song), Bintulu (Tatau dan Bintulu), Miri (Miri dan Marudi) serta Limbang.
Di Sabah, cuaca buruk dijangka melanda kawasan Pantai Barat membabitkan Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud, selain Kudat.
"Amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam (mm/j) yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
"Amaran itu merupakan amaran jangka pendek yang sah bagi tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi METMalaysia, aplikasi myCuaca dan saluran media sosial rasmi jabatan itu.






