PWS teroka kerjasama dengan MK Land perkasa agenda wakaf

30 Jul 2026, 5:00 AM
PWS teroka kerjasama dengan MK Land perkasa agenda wakaf

SHAH ALAM, 30 JULAI: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) meneroka potensi kerjasama strategik bersama MK Land Holdings Berhad bagi memperkukuh agenda wakaf di negeri ini.

PWS memaklumkan usaha itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat delegasinya ke ibu pejabat MK Land Holdings Berhad di Petaling Jaya pada 27 Julai lalu.

Delegasi PWS diketuai Pengerusinya, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir bersama Ketua Pegawai Eksekutif Anuar Hamzah Tohar dan Pengurus Bahagian Korporat Muhammad Hafiz Bahari.

Menurut PWS, pertemuan berkenaan membuka ruang perbincangan mengenai pelbagai inisiatif yang mampu meningkatkan penyertaan sektor korporat dalam pembangunan wakaf di Selangor.

"Antara perkara yang dibincangkan termasuk inisiatif wakaf kakitangan MK Land, pengukuhan wakaf korporat serta penerokaan peluang kerjasama dalam pelaksanaan projek-projek wakaf yang berimpak dan mampan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

PWS berkata penglibatan lebih aktif syarikat korporat sebagai rakan sinergi penting bagi memperluaskan ekosistem wakaf serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai pihak.

Menurutnya, kerjasama sedemikian turut membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan ummah melalui instrumen wakaf yang memberi manfaat berpanjangan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.