SHAH ALAM, 29 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mencipta sejarah sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia memperkenalkan Garis Panduan Permohonan Permit Sementara Penjaja dalam Kawasan Pemajuan Berstrata Perimeter Tanah.
MBPJ dalam kenyataan memaklumkan garis panduan itu diperkenalkan bagi mewujudkan sistem pengurusan penjaja yang lebih tersusun, telus dan mematuhi peruntukan undang-undang di kawasan kediaman berstrata.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bukan sahaja membolehkan komuniti menjalankan perniagaan secara sah, malah memastikan aspek keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan penduduk terus terpelihara.
"Selangor sentiasa menggalakkan pembangunan ekonomi komuniti, namun ia perlu dilaksanakan secara tersusun dan bertanggungjawab.
"Garis panduan ini menjadi penanda aras baharu yang mengimbangi peluang ekonomi dengan kepentingan serta keselesaan penduduk di kawasan berstrata," katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, majlis pelancaran garis panduan berkenaan disempurnakan EXCO Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah di Dewan Banquet MBPJ di sini.
Menerusi kenyataan sama, PBT itu berkata setiap cadangan aktiviti penjaja perlu mendapat persetujuan pemilik menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) atau Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) sebelum permohonan diproses oleh MBPJ.
Katanya, setiap permohonan juga akan melalui penilaian jabatan teknikal bagi memastikan lokasi perniagaan bersesuaian, selamat dan tidak menjejaskan harta bersama serta laluan kecemasan.
Jelasnya, pelaksanaan garis panduan berkenaan mencerminkan komitmen MBPJ dalam memperkukuh tadbir urus kawasan pemajuan berstrata selain menyokong pembangunan ekonomi komuniti secara mampan.
Inisiatif itu turut dijangka mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih teratur, selamat dan kondusif, sekali gus menjadi model rujukan kepada PBT lain di seluruh negara.







