Selangor teliti bantahan projek pusat data Kota Damansara, cari penyelesaian menang-menang

29 Jul 2026, 11:44 AM
Selangor teliti bantahan projek pusat data Kota Damansara, cari penyelesaian menang-menang

SHAH ALAM, 29 JULAI: Kerajaan Negeri akan meneliti setiap bantahan terhadap cadangan pembinaan pusat data komersial di Kota Damansara mengikut prosedur yang ditetapkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri bertanggungjawab memberi penerangan berasaskan fakta serta mencari penyelesaian yang mencapai situasi ‘menang-menang’ untuk semua pihak.

"Bantahan itu adalah sebahagian daripada proses pendengaran dalam perancangan pembangunan pusat data. Sebahagian pusat data pula perlu dibangunkan berhampiran infrastruktur perkhidmatan yang diperlukan.

"Bagaimanapun, kelulusan pusat data bukan hanya diputuskan oleh pihak berkuasa tempatan kerana terdapat pasukan petugas di peringkat Persekutuan. Di peringkat negeri pula, kita menilai kesesuaian tapak termasuk aspek kecukupan bekalan air dan elektrik," katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan meneliti asas setiap bantahan yang dikemukakan sebelum membuat sebarang pertimbangan.

"Kita mahu melihat apakah asas kebimbangan itu. Jika ia hanya bersandarkan sentimen tanpa fakta, sudah tentu sukar untuk dijadikan pertimbangan. Namun, jika terdapat asas yang jelas, kita boleh mempertimbangkannya termasuk mencari lokasi lain yang lebih sesuai.

"Kawasan di belakang itu juga merupakan kawasan perindustrian dan terdapat kilang, termasuk kilang kimia yang risikonya jauh lebih tinggi berbanding pusat data.

"Sebab itu kita perlu menjawab setiap kebimbangan dengan data dan fakta, bukan semata-mata sentimen. Tanggungjawab Kerajaan Negeri ialah memberi penerangan, penjelasan dan mencari penyelesaian yang adil kepada semua pihak," katanya.

Pada 17 Julai lalu, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan memaklumkan cadangan pembinaan pusat data itu akan dibawa ke Kabinet susulan kebimbangan yang dibangkitkan penduduk.

Menteri Sumber Manusia itu berkata perkara berkenaan akan dibincangkan bagi mewujudkan garis panduan dan mekanisme yang lebih menyeluruh berkaitan penempatan pusat data, khususnya yang berhampiran kawasan perumahan.

Beliau turut mengemukakan surat bantahan rasmi kepada Datuk Bandar Petaling Jaya pada 15 Julai bagi menyatakan pendirian membantah cadangan pembangunan tersebut.

Sehingga berita ini ditulis, beliau masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.