MBPJ laksana 39 projek tebatan banjir bernilai RM40.5 juta

29 Jul 2026, 10:05 AM
MBPJ laksana 39 projek tebatan banjir bernilai RM40.5 juta

PETALING JAYA, 29 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan melaksanakan 39 projek tebatan banjir bernilai RM40.5 juta bagi memperkukuh daya tahan bandar raya itu terhadap banjir kilat, dengan tumpuan diberikan kepada kawasan yang kerap dilanda banjir seperti Seksyen 51A, Medan Selera 223, Kampung Cempaka dan Terowong FAS.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato' Mohamad Zahri Samingon berkata projek itu akan dilaksanakan oleh MBPJ bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta beberapa agensi teknikal susulan kejadian banjir kilat pada 18 Julai lalu.

Beliau berkata hasil penilaian teknikal mendapati banjir berpunca daripada hujan lebat luar biasa antara 65 hingga 104 milimeter (mm) dalam tempoh singkat sehingga melebihi kapasiti sistem saliran sedia ada, sekali gus menyebabkan Sungai Penchala dan Sungai Klang melimpah di beberapa kawasan berisiko tinggi.

"Pelaksanaan projek akan dibuat secara berperingkat. Sebagai langkah segera, lima projek dijangka siap menjelang Februari tahun depan, termasuk pembinaan sistem kawalan limpahan sungai, pemasangan pintu kepak (flap gate), naik taraf saliran serta pembinaan kemudahan On-Site Detention (OSD).

"Di Seksyen 51A pula, lapan projek bernilai RM8.15 juta akan dilaksanakan, manakala kerja jangka sederhana seperti menaik taraf sistem saliran, pemasangan pam dan pembinaan kolam takungan turut dirancang," katanya pada Mesyuarat Penuh MBPJ hari ini.

Mohamad Zahri berkata MBPJ turut akan membina kemudahan OSD di kawasan parkir Medan Selera 223 dengan kos RM4.55 juta.

Katanya, kemudahan itu mampu menampung sehingga 3,200 meter padu air hujan sebelum dilepaskan secara terkawal ke Sungai Penchala, selain menaik taraf sistem saliran berhampiran.

Pada 18 Julai lalu, beberapa kawasan di Petaling Jaya dilanda banjir kilat sehingga menenggelami jalan raya, rumah dan premis perniagaan termasuk Medan Selera 223, dengan paras air dilaporkan mencecah hampir dua meter.

Mengulas lanjut, beliau berkata MBPJ turut melaksanakan langkah jangka pendek dan panjang bagi mengurangkan risiko banjir di seluruh bandar raya.

"Selain projek tebatan banjir, kerja-kerja mengukuhkan tebing sungai dan penambahbaikan kejuruteraan lain juga sedang dilaksanakan, namun ia memerlukan tempoh yang lebih panjang untuk disiapkan," katanya kepada Media Selangor.

Mengenai cadangan supaya Petaling Jaya mengguna pakai konsep Sponge City, beliau berkata pendekatan itu lebih sesuai dilaksanakan di kawasan pembangunan baharu kerana kemudahan bawah tanah boleh dirancang sejak awal.

Menurutnya, konsep berkenaan dijangka dilaksanakan di kawasan pembangunan Kwasa Land.

Dalam mesyuarat sama, Mohamad Zahri berkata MBPJ terus komited memperkukuh agenda kecekapan tenaga dan pembangunan rendah karbon sebagai sebahagian daripada pelan kelestarian jangka panjang.

Sejak 2020, katanya, MBPJ telah melaksanakan lima program utama pengurusan tenaga termasuk kempen kesedaran kecekapan tenaga, pensijilan GreenPASS bagi bangunan milik majlis, sistem pemantauan tenaga secara dalam talian, audit tenaga bangunan serta pemasangan sistem solar fotovoltaik.

Inisiatif itu bertujuan membantu MBPJ mencapai sasaran mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 33 peratus menjelang 2030, selaras dengan aspirasi pembangunan rendah karbon negara.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.