SHAH ALAM, 13 OKT: Sebanyak 1,352 ekor burung gagak berjaya dihapuskan menerusi Operasi Kawalan Populasi Burung Gagak MBPJ Tahun 2026 yang dilaksanakan di 27 lokasi panas (hotspot) sekitar Petaling Jaya.
Datuk Bandar Petaling Jaya, YBhg. Dato' Mohd Yazid bin Sairi berkata, operasi bersasar itu melibatkan seramai 24 peserta bagi menangani isu populasi burung gagak yang menjejaskan kebersihan, kesihatan awam serta kesejahteraan penduduk di kawasan kediaman dan pusat komersial.
"Antara kawasan yang dikenal pasti sering mencatatkan aduan berulang ialah sekitar Seksyen 14, kawasan komersial SS2, kawasan PJS dan kawasan komersial SS23."
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian dan mengetuai sesi pelepasan pasukan penembak di perkarangan Ibu Pejabat MBPJ. Pelaksanaan operasi berkenaan turut mendapat kelulusan rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengutamakan aspek keselamatan orang awam serta pematuhan prosedur operasi standard (POS).
Bagi operasi kali ini, MBPJ menetapkan bayaran insentif sebanyak RM6.00 bagi setiap ekor burung gagak yang diserahkan oleh peserta kepada pihak urus setia di kawasan belakang Dewan Sivik MBPJ.
Menurut rekod MBPJ, sebanyak 241 aduan berkaitan kacau ganggu burung gagak diterima sepanjang tempoh 2020 hingga September 2026.
Daripada jumlah itu, sebanyak 31 aduan masing-masing direkodkan pada tahun 2020 dan 2021, diikuti 49 aduan (2022), 48 aduan (2023), 27 aduan (2024), dan 36 aduan (2025). Bagi tempoh Januari hingga September 2026 pula, sebanyak 19 aduan telah diterima.
Aduan yang diterima merangkumi isu pencemaran bunyi, najis yang menjejaskan kebersihan persekitaran, serta kerosakan harta benda akibat sifat berasid najis burung berkenaan. Burung gagak turut dikategorikan sebagai haiwan perosak bandar berikutan tabiat menyelongkar tong sampah dan memakan bangkai.
Sebagai perbandingan, sebanyak 3,427 ekor burung gagak berjaya dihapuskan menerusi Operasi Menembak Gagak Siri 1 dan 2 Tahun 2025.
Selain operasi penembakan, MBPJ turut melaksanakan kaedah kawalan lain termasuk pemusnahan sarang burung secara berkala sebanyak dua kali sebulan serta pemasangan perangkap gagak di lokasi strategik.
Sehubungan dengan itu, MBPJ menyeru orang ramai agar tidak membuang sisa makanan secara terbuka dan memastikan tong sampah sentiasa bertutup bagi mengurangkan sumber makanan yang menarik kehadiran burung gagak, demi memastikan Petaling Jaya terus kekal sebagai bandar raya yang bersih dan sejahtera.










