SHAH ALAM, 29 JULAI: Orang ramai khususnya peminat seni lukis dan komik berpeluang menyertai Bengkel Melukis Komik bersama kartunis tersohor, Datuk A. Rahim Muda atau Imuda di Dewan Utama, Perpustakaan Daerah Hulu Langat pada 8 Ogos ini.
Bermula 10 pagi hingga 1 petang, program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu memberi peluang kepada peserta mempelajari teknik melukis komik, berkongsi idea kreatif serta berinteraksi secara santai bersama pelukis dan pelakon terkenal tanah air itu.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM30 seorang termasuk makanan dan minuman dengan penyertaan dihadkan kepada 40 peserta sahaja.
Peserta diminta membawa kertas lukisan bersaiz A3, pensel 2B dan pensel warna sepanjang bengkel berlangsung.
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui pautan yang disediakan oleh PPAS atau menghubungi Nazaleeza di talian 019-679 2288 untuk maklumat lanjut.







