JOHOR BAHRU, 29 JULAI: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya yang berusia 18 bulan di sebuah kondominium di Bandar Baru Permas Jaya, tiga tahun lalu.
Tertuduh, G Thevendhiran, 40, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman, lapor Berita Harian.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang sebelum ini bekerja di Singapura itu didakwa membunuh mangsa antara jam 8.30 pagi hingga 10 pagi pada 12 September 2023.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan dan tidak dijatuhi hukuman mati.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Deana Aqila Aliman mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 1 Oktober depan untuk serahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), patologi serta forensik.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, tertuduh didenda RM3,000 dan dipenjara sebulan selepas mengaku bersalah memiliki bahan lucah dalam telefon bimbitnya.
Majistret A Shaarmini turut memerintahkan tertuduh dipenjara jika gagal membayar denda berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta kondominium sama pada 18 Julai lalu dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, polis mengklasifikasikan semula kes kematian kanak-kanak itu sebagai kes bunuh selepas siasatan hampir tiga tahun dan penahanan bapa kandung mangsa pada 18 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa bapanya ke Hospital Sultan Ismail pada 13 September 2023. Pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian pinggang, perut menggelembung serta bengkak pada bahagian dubur mangsa.






