Mahkamah: Bapa dituduh cuba bunuh anak umur tiga tahun

26 Jan 2026, 8:03 AM
Mahkamah: Bapa dituduh cuba bunuh anak umur tiga tahun

SHAH ALAM, 26 JAN: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh anak perempuan kandung berusia tiga tahun, pertengahan bulan ini.

Tertuduh, Mohamad Hairel Huzairiey Hazmi, 24, mengaku tidak bersalah dan mohon bicara selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan cubaan bunuh sehingga ingin menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan bertempat di Jalan Pak Mayong berdekatan Pangkalan Maritim Tok Bali, dekat Pasir Puteh, kira-kira 7 pagi, pada 14 Januari 2026.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Zulfaqar Al Basysyar.

Tiada ikat jamin ditawarkan dan mahkamah menetapkan 25 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.