SHAH ALAM, 29 JULAI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan empat daerah di Selangor sehingga jam 3 petang ini.
MetMalaysia memaklumkan daerah yang dijangka terjejas ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang.
Selain Selangor, amaran sama turut melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka serta beberapa kawasan di Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam (mm/j) yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
Amaran ribut petir ialah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.







