SHAH ALAM, 28 JULAI: Lebih 4,000 permohonan Insentif Haji Muassasah diterima tahun ini selepas tempoh permohonan dilanjutkan sehingga 15 Julai lalu, kata Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor.
Beliau berkata semua permohonan yang memenuhi syarat ditetapkan akan diluluskan sebelum bantuan disalurkan melalui pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Menurutnya, proses penerimaan permohonan daripada pusat khidmat DUN sedang berlangsung memandangkan terdapat pejabat yang mengumpulkan permohonan sebelum menyerahkannya secara berkelompok.
“Kita tutup hari itu 15 Julai dan sekarang sedang terima permohonan pusat khidmat… ada yang menyimpan sampai hujung, hantar sekali 100, 100 lebih nak laksanakan majlis serahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan komputer riba kepada mahasiswa di pejabat Yayasan MBI, hari ini.

Ahmad Azri berkata pihaknya yakin semua pemohon yang layak akan menerima bantuan berkenaan dalam bulan ini memandangkan jumlah permohonan masih berada dalam kuota ditetapkan.
“Proses ini sedang berjalan dan saya yakin mereka yang memohon itu akan dapat dalam bulan ini... insya-Allah. Sekarang permohonan saya rasa dah cecah 4,000 lebih tetapi masih dalam lingkungan kuota dan semua memohon pasti dapat,” katanya lagi.
Sebelum ini, Dato Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 6,000 bakal jemaah haji muassasah di negeri itu akan menerima Insentif Haji Muassasah 1447H/2026M berjumlah RM1,500 seorang.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM9 juta bagi program berkenaan dengan kadar bantuan dinaikkan kepada RM1,500 berbanding RM500 sebelum ini, sekali gus mencerminkan peningkatan hasil negeri yang membolehkan manfaat lebih besar disalurkan kepada rakyat.
Tempoh permohonan insentif itu turut dilanjutkan sehingga 15 Julai bagi memberi peluang kepada bakal jemaah yang masih berada di Tanah Suci atau belum sempat mengemukakan permohonan.
Sejak diperkenalkan pada 2022, Insentif Haji Muassasah telah memanfaatkan 18,000 jemaah haji muassasah dari Selangor, melibatkan 3,000 penerima masing-masing pada 2022 dan 2023 serta 6,000 penerima masing-masing pada 2024 dan 2025.









