Kerajaan tawar langganan AI percuma kepada belia selama tiga bulan

28 Jul 2026, 5:18 AM
Kerajaan tawar langganan AI percuma kepada belia selama tiga bulan
Kerajaan tawar langganan AI percuma kepada belia selama tiga bulan

CYBERJAYA, 28 JULAI: Kerajaan akan menawarkan akses dan langganan perisian kecerdasan buatan (AI) secara percuma selama tiga bulan kepada belia berusia 18 hingga 30 tahun yang berjaya melengkapkan modul kursus di bawah platform Rakyat Digital.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tawaran itu antara pengisian program Al Untuk Rakyat yang dilancarkan bagi memacu kefahaman dan penggunaan Al, terutama dalam kalangan belia di negara ini.

“Kita mulakan kohort anak muda untuk kohort umur sekitar 18 hingga 30 tahun dan Kementerian Digital akan menyiapkan modul-modul kursus.

“Belia yang melengkapkan kursus AI berkaitan akan melanggan secara percuma untuk tempoh tiga bulan dengan aplikasi AI terkemuka,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Peluncuran AI Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata antara modul yang ditawarkan di bawah program berkenaan ialah Keselamatan Al, Cyber SAFE, Agentic Al, Generatif Al dan Cloud Untuk Rakyat.

Beliau berkata akses dan langganan percuma perisian AI itu hanya diberikan kepada peserta yang berjaya menamatkan kursus berkenaan.

“Kita nak pastikan program AI Untuk Rakyat ini yang percuma dibuka mulai 31 Ogos 2026. Jadi, Hari Merdeka kita lancarkan dan dianggarkan memberi manfaat kepada 100,000 anak muda,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata beliau tidak mahu dalam kerancakan negara mengejar teknologi AI, ada rakyat terpinggir dan tidak didedahkan dengan teknologi itu.

“Maka sebab itu, penggunaan AI dan kempen penerangan AI untuk rakyat itu mesti ditingkatkan sebagai satu keutamaan,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.