Belia perlu lebih kritis tapis maklumat era AI - EXCO

26 Sep 2026, 11:00 AM
Belia perlu lebih kritis tapis maklumat era AI - EXCO
Belia perlu lebih kritis tapis maklumat era AI - EXCO
Belia perlu lebih kritis tapis maklumat era AI - EXCO

SHAH ALAM, 26 SEPT: Golongan belia perlu lebih kritis menilai dan menapis maklumat dalam era kecerdasan buatan (AI) dan media sosial bagi membezakan kandungan benar atau palsu, saran EXCO Belia.

Mohd Najwan Halimi berkata akses kepada teknologi dan maklumat yang semakin luas perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan pengetahuan, namun belia perlu menilai kandungan berdasarkan fakta dan sumber sahih.

Katanya, keupayaan itu semakin penting dalam era pasca-kebenaran (post-truth) apabila kandungan tidak benar boleh dipersembahkan sehingga kelihatan seperti benar.

EXCO Belia Mohd Najwan Halimi ditemui selepas menyempurnakan perasmian penutup Konvensyen Belia Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 26 September 2026. KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

“Perkara-perkara yang kita lihat mungkin benar itu, ada kalanya palsu ataupun perkara yang palsu itu kalau diketengahkan secara berbeza mungkin nampak benar.

“Jadi di situlah perlunya daya pemikiran yang lebih kritis, yang lebih mampan di mana anak-anak muda perlu untuk menjadi penilaian yang baik,” katanya ditemui selepas menyempurnakan perasmian penutup Konvensyen Belia Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata cabaran itu semakin kompleks dengan kewujudan AI yang mampu menghasilkan kandungan termasuk video sehingga sukar dibezakan sama ada sesuatu kejadian benar-benar berlaku atau dihasilkan secara teknologi.

“Kalau dulu mungkin kita tidak ada teknologi yang sangat sofistikated, macam sekarang ini ada AI. Kadang-kadang kita tak dapat beza video AI ataupun video bukan AI.

“Jadi ini antara cabaran zaman ini, Gen Z yang kita sebut sekarang ini untuk mereka menjadi lebih bijak. Belia perlu menilai sesuatu isu berdasarkan fakta dan sumber yang sahih serta tidak mudah dipengaruhi emosi atau persepsi semata-mata.

“Anak muda juga perlu berfikir secara kritis dalam menilai satu-satu informasi ataupun satu-satu isu yang mungkin berbangkit dalam negara kita, baik politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan sebagainya,” katanya.

EXCO Belia, Mohd Najwan Halimi bergambar dengan peserta Konvensyen Belia Selangor 2026 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 26 September 2026. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Najwan berkata Konvensyen Belia Selangor tahun ini yang disertai 543 peserta turut memberi penekanan kepada aspek intelektual menerusi pengisian lebih serius berbanding tahun lalu.

Katanya, empat pembicara daripada latar belakang berbeza diketengahkan bagi memberikan perspektif lebih luas kepada peserta, merangkumi isu geopolitik, kepimpinan dan keusahawanan.

“Pengisian pada tahun ini kita lebih menumpukan kepada bagaimana kita nak berikan satu takrifan ataupun mengubah paradigma pemikiran anak muda kita supaya mereka ini melihat dunia ini bukan hanya daripada satu sisi sahaja.

“Diharap pendekatan ini diharap melahirkan generasi muda yang mampu menggunakan teknologi secara berhemah serta menjadikan maklumat sebagai asas untuk membina pemikiran, bukannya menerima sesuatu kandungan tanpa membuat semakan.

“Dengan pendedahan ataupun akses yang lebih baik kepada teknologi dan maklumat ini, anak-anak muda harus tampil lebih bijak dan lebih hebat daripada generasi-generasi muda yang terdahulu,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.