Selangor giat bangunkan bakat mahir dalam bidang AI, pusat data

3 Nov 2026, 11:34 AM
Selangor giat bangunkan bakat mahir dalam bidang AI, pusat data

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Selangor terus memperluas peluang kerjaya dalam bidang digital menerusi siri kelima Selangor Career Outreach (SCOUT) University Series yang memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai industri kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.

Program anjuran Invest Selangor Berhad dengan kerjasama Universiti Sunway itu berlangsung pada 27 Oktober lalu, bagi membantu pelajar memahami keperluan industri serta berhubung secara langsung dengan bakal majikan.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata program berkenaan bertujuan memadankan pencari kerja dengan syarikat yang memerlukan tenaga mahir, khususnya dalam bidang teknologi baharu.

“Pada awal Oktober, Ekspo Bakat SCOUT di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menghimpunkan lebih 140 syarikat dengan menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan.

“Namun, satu ekspo besar sahaja tidak mencukupi. Oleh itu, kami membawa SCOUT terus ke kampus universiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Education Group, Prof Dato’ Dr Elizabeth Lee berkata kerjasama antara Kerajaan Negeri, universiti dan pemain industri penting bagi melahirkan graduan yang bersedia memenuhi keperluan pasaran kerja.

“Kami berbesar hati bekerjasama dengan Invest Selangor menerusi program ini yang membuka lebih banyak peluang kepada pelajar mengenali bidang kerjaya baharu dan membuat persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Program itu turut menampilkan wakil NEXTDC dan UST Malaysia yang berkongsi pengalaman serta memberi penerangan mengenai kemahiran dan peluang pekerjaan dalam industri AI dan pusat data.

Universiti Sunway yang menubuhkan Sekolah Pengkomputeran dan Kecerdasan Buatan pada November 2025 turut memberi tumpuan kepada kerjasama industri supaya pelajar dapat menggunakan ilmu dipelajari dalam situasi pekerjaan sebenar.

Sebelum ini, program SCOUT diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi bidang aeroangkasa, Universiti Selangor (UNISEL) bagi sains hayat, University of Nottingham Malaysia bagi elektrik dan elektronik serta Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam bagi industri rel.

Perkukuh bakat tempatan

Program berkenaan turut menyokong usaha Selangor menyediakan tenaga mahir susulan peningkatan pelaburan dalam sektor teknologi.

Bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, Selangor merekodkan hampir RM70 bilion pelaburan diluluskan dengan lebih 90 peratus disumbangkan sektor perkhidmatan, terutama teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2), ekonomi digital menjadi antara bidang utama yang diberi tumpuan bagi meningkatkan produktiviti, menggalakkan penggunaan teknologi dan membantu perniagaan tempatan berkembang.

Sze Han berkata usaha melahirkan tenaga mahir turut dilaksanakan menerusi Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) yang menyediakan latihan dalam industri semikonduktor, termasuk reka bentuk cip.

Setakat ini, lebih 800 peserta mengikuti latihan ASEM dengan kadar penempatan pekerjaan dilaporkan mencapai 100 peratus.

Selain itu, Malaysia IC Design Park di Puchong turut membantu melahirkan jurutera semikonduktor tempatan dengan rakyat Malaysia merangkumi 95 peratus daripada keseluruhan juruteranya.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan bagi pelaburan pusat data baharu menerusi dasar Pembangunan Ekonomi Tempatan (LED).

Syarat itu bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk membekalkan perkhidmatan, teknologi dan tenaga kerja kepada industri pusat data.

Invest Selangor turut memperkenalkan Invest Selangor Support Network (ISSN), iaitu platform digital yang menghubungkan pelabur dengan penyedia perkhidmatan profesional tempatan.

Melalui platform itu, pelabur dapat mencari syarikat tempatan yang bersesuaian bagi membantu mereka memulakan dan menjalankan operasi perniagaan di Selangor.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.