SHAH ALAM, 28 JULAI: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menekankan kepentingan maklum balas pantas terhadap isu semasa bagi memastikan maklumat tepat dan sahih dapat disampaikan kepada masyarakat.
Yang Dipertuanya, Dr Ani Ahmad berkata langkah itu selaras keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor yang menekankan keperluan jabatan dan agensi memberi penjelasan serta tindakan sewajarnya terhadap isu berkaitan.
"Maklum balas segera perlu diberikan bagi mengelakkan kelewatan yang boleh menjejaskan persepsi terhadap peranan dan tanggungjawab jabatan atau agensi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Ahli-Ahli Majlis MPSepang di MPSepang, Cyberjaya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ani berkata pegawai media dan komunikasi di setiap jabatan MPSepang turut diseru memainkan peranan lebih proaktif dengan memantau isu semasa dan menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat.
Katanya, hebahan berkaitan program, aktiviti dan operasi yang dilaksanakan terus diperkasa bagi memastikan rakyat mengetahui inisiatif serta komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan dan keharmonian masyarakat di Selangor.
Sebelum ini, MMKN yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 24 Jun lalu memutuskan supaya jabatan dan agensi bertindak segera memberi maklum balas berasaskan fakta sahih terhadap isu melibatkan Kerajaan Negeri.






