MPSepang terima permohonan pelan pemajuan tertinggi di Selangor, pacu keyakinan pelabur

20 Dis 2025, 1:31 AM
MPSepang terima permohonan pelan pemajuan tertinggi di Selangor, pacu keyakinan pelabur
MPSepang terima permohonan pelan pemajuan tertinggi di Selangor, pacu keyakinan pelabur

SEPANG, 20 DIS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menerima permohonan pelan pemajuan tertinggi di Selangor, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi pembangunan pesat di daerah itu.

Yang Dipertuanya, Dr Ani Ahmad berkata MPSepang merekodkan 2,208 permohonan pelan pemajuan dan 470 permohonan kebenaran merancang sehingga 8 Disember 2025, dengan jumlah berkenaan dijangka terus meningkat tahun hadapan.

“Jumlah permohonan ini meletakkan MPSepang yang tertinggi selepas Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

“Kehadiran pelabur yang dijangka bertambah adalah selaras dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam teras pengukuhan ekonomi.

“Ia juga mendorong pembangunan Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) yang akan menarik pelabur serta projek berimpak tinggi dengan jangkaan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bernilai RM1 trilion,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan Bil 12/2025.

Dalam perkembangan lain, Ani berkata pihaknya memperuntukkan kira-kira RM7.1 juta bagi pembangunan pusat polo baharu bersempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor tahun depan.

Ditemui pemberita selepas mesyuarat, beliau memaklumkan projek naik taraf di kawasan Taman Tasik Cyberjaya itu dijangka siap sekitar Jun atau Julai sebelum sambutan rasmi 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Oktober.

“Naik taraf ini merangkumi penyediaan infrastruktur termasuk laluan masuk bernilai RM4.7 juta serta landskap dan kemudahan berkaitan kuda berjumlah RM2.4 juta bagi menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat polo baharu,” katanya.