SEPANG, 9 JAN: Seramai 24 Ahli Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dilantik bagi penggal baharu selama dua tahun bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027.
Yang Dipertuanya Dr Ani Ahmad berkata pelantikan ahli majlis adalah berpandukan peruntukan yang diberi kepada pihak berkuasa negeri di bawah Akta 171 Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Amanah dan tanggungjawab ini amat berat dan penting kerana ahli majlis adalah pemimpin masyarakat di kawasan masing-masing.
“Rakyat mahukan ahli majlis yang sentiasa peka dalam mengetengahkan masalah serta isu yang berkaitan dengan perkhidmatan dan pengurusan,” katanya berucap pada Majlis Perakuan Menerima Jawatan (Angkat Sumpah) Ahli Majlis MPSepang bagi penggal 2026 hingga 2027 di sini, hari ini.
Tambahnya, ahli majlis perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tugas yang disandang selain peka terhadap hal ehwal kerajaan tempatan selain mengetahui matlamat PBT, dasar Kerajaan Negeri dan persekutuan.
“Ahli majlis juga perlu prihatin permasalahan masyarakat setempat, ambil tahu keadaan sekeliling dan isu nasional serta global, selain menyiapkan diri dengan pengetahuan dan kefahaman berkaitan tugasan daripada aspek perundangan supaya keputusan yang dibuat mempunyai asas yang kukuh dan tidak bercanggah dengan dasar kerajaan untuk kepentingan awam,” katanya.
Dalam pada itu, katanya bagi tahun ini MPSepang menyediakan KPI penilaian bagi ahli majlis menerusi lima komponen utama iaitu program kemasyarakatan, pengurusan pentadbiran, kejiranan hijau, program alam sekitar serta program pendidikan dan kesihatan awam.
“Semua komponen ini mempunyai pecahan-pecahan mengikut program yang akan dijalankan. Bagi penghargaan kepada keterlibatan semua pihak, setiap komponen ini mempunyai markah dan akan dinilai semasa akhir tahun dengan hadiah akan ditawarkan,” katanya.
Sebelum ini, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata seramai 288 ahli majlis baharu bagi 12 pihak PBT di Selangor dijangka selesai mengangkat sumpah jawatan selewat-lewatnya esok.
Ahli majlis bagi penggal 2026 hingga 2027 itu akan berkhidmat selama dua tahun bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027.



