SHAH ALAM, 26 APRIL: Sebanyak 297 idea bajet diterima Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) setakat ini, sekali gus mencerminkan tahap kesedaran masyarakat dalam menyumbang kepada pembangunan daerah.
Yang Dipertuanya Dr Ani Ahmad berkata, jumlah itu hasil penyertaan orang ramai dalam usaha merangka perancangan pembangunan lebih inklusif dan menyeluruh.
Menurutnya, idea yang diterima meliputi pelbagai aspek penting termasuk infrastruktur, kemudahan awam, keselamatan, teknologi serta ekonomi rakyat.
"Ia mencerminkan tahap kesedaran masyarakat dengan 297 idea diterima merangkumi pelbagai aspek seperti infrastruktur, kemudahan awam, keselamatan, teknologi dan ekonomi rakyat.
"Pendekatan ini menekankan konsep ‘people-centric’ dengan memanfaatkan teknologi seperti Internet Kebendaan (IoT) dan Mobile ICT bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian," katanya.
Dr Ani berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Ahli-Ahli Majlis MPSepang di ibu pejabat pihak berkuasa tempatan itu di Sepang kelmarin.
Beliau berkata Portal Idea Bajet 2027 akan dibuka kepada orang awam dari 1 hingga 29 Mei ini menerusi pautan dalam talian bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan.
"Portal ini akan dibuka kepada orang awam bermula 1 hingga 29 Mei 2026 melalui pautan http://ideabajet.mpsepang.gov.my/.
"Penyertaan rakyat amat penting bagi memastikan bajet yang dirangka benar-benar memenuhi keperluan semasa serta memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat," katanya.








