Rumah ibadat tidak sah: MPSepang sedia bertindak, tunggu arahan Kerajaan Negeri

9 Feb 2026, 1:00 PM
Rumah ibadat tidak sah: MPSepang sedia bertindak, tunggu arahan Kerajaan Negeri

SEPANG, 9 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bersedia melaksanakan tindakan perobohan terhadap rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran, terutamanya di atas tanah rizab Kerajaan, namun tertakluk kepada arahan Kerajaan Negeri.

Yang Dipertua MPSepang Dr Ani Ahmad berkata pihaknya menyokong tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap mana-mana rumah ibadat yang dibina secara haram tanpa mengira agama.

“Kita menyahut (kebenaran PM) itu. Sebab kadang-kadang tanah rizab itu untuk kegunaan pembangunan masa depan. Jadi kita hanya akan menunggu arahan daripada Kerajaan Negeri. Kalau Kerajaan Negeri minta, itu kita akan laksanakan. Ya, kita bersedia,” katanya.

Ditemui selepas majlis Minum Petang Bersama Media di Sama-Sama Hotel KLIA, Ani menjelaskan pihaknya kini sedang mengenal pasti serta mengemas kini inventori tapak rumah ibadat tidak sah.

Beliau menegaskan sebarang pembinaan rumah ibadat tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya walaupun di kawasan kosong kerana ia tertakluk kepada peraturan guna tanah dan perancangan pembangunan.

“Mereka tidak boleh bina sesuka walaupun kawasan itu nampak kosong. Salah daripada segi peraturan. Ada yang menyebabkan kacau ganggu, orang sekeliling rasa tidak selesa. Perkara itu yang akan kita ambil tindakan,” jelasnya.

Dr Ani menambah, tindakan perobohan akan dijalankan secara bersepadu bersama pejabat daerah dan agensi berkaitan, termasuk polis, bagi memastikan keselamatan dan kelancaran proses.

Perdana Menteri hari ini menekankan PBT dibenarkan mengambil tindakan ke atas mana-mana rumah ibadat yang dibina tanpa mengikut undang-undang, dengan menekankan bahawa proses perundangan perlu diutamakan supaya sebarang isu dapat diselesaikan secara teratur.

Sebelum ini, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor, V. Papparaidu, memaklumkan 58 kuil telah selesai melalui proses pemutihan dan ditempatkan di tapak Rumah Ibadat Bukan Islam.

Katanya, pelbagai pendekatan diambil untuk menangani isu penempatan rumah ibadat, termasuk perobohan struktur yang tidak memenuhi syarat undang-undang. Kuil yang dibina di atas tanah pihak lain atau melanggar peraturan terpaksa dirobohkan, manakala yang layak ditempatkan semula secara teratur dan sah di sisi undang-undang.