Usahawan madu kelulut belajar daripada kegagalan orang muda 

28 Jul 2026, 8:00 AM
Usahawan madu kelulut belajar daripada kegagalan orang muda 
Usahawan madu kelulut belajar daripada kegagalan orang muda 
Usahawan madu kelulut belajar daripada kegagalan orang muda 

Ramai beranggapan seseorang usahawan perlu melalui kegagalan sendiri sebelum menemui formula kejayaan.

Namun bagi pengusaha madu lebah kelulut, Salwa Zaleha Husain, pengalaman itu hadir dalam bentuk yang berbeza.

Ketika ini, Salwa mengusahakan dua ladang kelulut masing-masing di Kampung Jaya Setia, Sungai Siput, Perak dan Sungai Serai, Hulu Langat, selain memiliki kedai serta premis pemprosesan produk hiliran di Batu 13, Hulu Langat.

Sebagai tenaga pengajar di Akademi Kemahiran Belia Negara (AKBN), beliau tidak sekadar mengajar belia menjadi usahawan, malah menjadi saksi kepada jatuh bangun mereka selepas menamatkan latihan.

Pengalaman melihat ramai bekas pelajar gagal meneruskan perniagaan akhirnya membuka mata Salwa bahawa ilmu keusahawanan tidak mencukupi untuk memulakan perniagaan, sebaliknya perlu disertai kefahaman terhadap cabaran sebenar dunia perniagaan.

"Pengetahuan itu ada, permintaan ada, sayang ilmu itu kalau dibiarkan. Jadi saya pun kena mengkaji kenapa generasi muda gagal dalam perniagaan, di manakah kesilapan tenaga pengajar... Jadi saya buat kajian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor di Program Promosi dan Jualan Produk Usahawan Bimbingan Jabatan Pertanian 2026 di SACC Mall, Shah Alam.

Salwa Zaleha Husain, 49, menyedari ilmu keusahawanan tidak mencukupi untuk memulakan perniagaan, sebaliknya perlu disertai kefahaman terhadap cabaran sebenar dunia perniagaan. FOTO MEDIA SELANGOR

Daripada situ, wanita berusia 49 tahun ini mengambil keputusan melakukan sesuatu yang tidak pernah dirancang sebelum ini. Beliau memilih untuk menguji sendiri modul keusahawanan yang selama ini diajarkan kepada pelajarnya.

Daripada empat projek keusahawanan yang pernah dikendalikan, bidang kelulut menjadi pilihan kerana bersesuaian dengan komitmennya sebagai tenaga pengajar.

"Jadi saya buatlah sendiri dan buka sendiri syarikat madu lebah kelulut ini... Jadi antara empat projek yang saya boleh buat adalah kelulut yang tidak mengganggu kerja saya," katanya.

Bermula dengan ilmu 

Perjalanan itu sebenarnya bermula pada 2011 apabila Salwa terbabit sebagai penyelaras program keusahawanan di AKBN yang melatih golongan belia dalam pelbagai bidang termasuk penternakan kelulut.

Lima tahun kemudian, pada 2016, beliau menubuhkan syarikat sendiri selepas menyediakan kertas kerja dan memohon bantuan daripada Jabatan Pertanian.

Dengan geran berjumlah RM15,000, Salwa membeli 27 sarang kelulut menggunakan tanah keluarga suaminya di Perak sebagai tapak permulaan perusahaan.

"Sekarang ada lebih kurang 100 sarang," katanya ketika ditanya perkembangan perusahaan itu.

Namun kejayaan tersebut bukan berlaku dalam sekelip mata. Selain memastikan pengeluaran madu berkualiti, Salwa turut mengembangkan perusahaan melalui penghasilan pelbagai produk hiliran.

Salwa Zaleha Husain, 49, menyedari ilmu keusahawanan tidak mencukupi untuk memulakan perniagaan, sebaliknya perlu disertai kefahaman terhadap cabaran sebenar dunia perniagaan. FOTO MEDIA SELANGOR

Hari ini, syarikatnya menawarkan 24 variasi produk berbeza sedia untuk dijual merangkumi madu dalam pelbagai saiz, madu stik, sabun, bedak sejuk, minyak propolis dan beberapa lagi produk berasaskan kelulut yang dibangunkan hasil penyelidikan serta sokongan pelbagai agensi.

Cabaran belum berakhir 

Walaupun perusahaan semakin berkembang, Salwa mengakui cabaran utama yang dihadapi ketika ini bukan lagi menghasilkan produk, sebaliknya mendapatkan premis yang sesuai untuk mengembangkan operasi serta memenuhi keperluan pensijilan halal.

Beliau juga memilih untuk mengembangkan perniagaan menggunakan hasil jualan sendiri tanpa mengganggu pendapatan tetap sebagai tenaga pengajar.

Dengan geran berjumlah RM15,000, Salwa membeli 27 sarang kelulut menggunakan tanah keluarga suaminya di Perak sebagai tapak permulaan perusahaan. FOTO FACEBOOK SALWA ZALEHA HUSAIN

"Cabaran saya adalah nak dapatkan satu lokasi yang sesuai... Saya cuma menggunakan hasil jualan ini sebagai modal saya. Jadi saya tak kacau pendapatan saya sendiri," katanya.

Jualan sekitar RM5,000 sebulan mungkin kelihatan sederhana jika dibandingkan dengan perusahaan yang lebih besar, namun bagi Salwa, ukuran sebenar kejayaan bukan terletak pada angka semata-mata.

Sebaliknya, beliau mahu pengalaman yang dikumpul sepanjang hampir 10 tahun itu dimanfaatkan oleh lebih ramai usahawan baharu agar mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama.

"Apa yang saya dapat sekarang ini, saya nak bantu usahawan dan juga anak-anak muda... saya nak bagi pengetahuan saya yang boleh bantu orang lain," katanya.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.