57 peniaga Jalan Cecawi nikmati diskaun sewa 30 peratus hingga Disember - MBPJ

27 Jul 2026, 11:30 AM
57 peniaga Jalan Cecawi nikmati diskaun sewa 30 peratus hingga Disember - MBPJ

PETALING JAYA, 27 JULAI: Seramai 57 peniaga di petak sementara Jalan Cecawi 6/19A, Kota Damansara menikmati diskaun sewa premis sebanyak 30 peratus bermula Julai hingga Disember ini sebagai sokongan sepanjang tempoh peralihan ke Kompleks Pembangunan Usahawan The Pod@PJ D’Cecawi.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata menerusi inisiatif itu, peniaga hanya perlu membayar RM90 sebulan berbanding kadar asal RM120 sepanjang tempoh berkenaan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato' Mohamad Zahri Samingon bercakap kepada media selepas merasmikan Kompleks Pembangunan Usahawan The Pod @ PJ D'Cecawi di Kota Damansara pada 27 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

“Inisiatif sama turut diteruskan apabila peniaga dipindahkan ke Kompleks Pembangunan Usahawan The Pod@PJ D’Cecawi yang dijangka mula beroperasi pada September depan.

“Apabila mereka berpindah ke kompleks baharu nanti, kadar sewa ditetapkan RM500 sebulan. Bagaimanapun, mereka masih menikmati diskaun 30 peratus sehingga Disember,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kompleks tersebut, tengah hari tadi.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato' Mohamad Zahri Samingon bergambar bersama peniaga makanan ketika majlis perasmian Kompleks Pembangunan Usahawan The Pod @ PJ D'Cecawi di Kota Damansara pada 27 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Mengulas permintaan peniaga di Medan Selera 223, Seksyen 51A yang memohon pengecualian sewa sehingga Disember, Mohamad Zahri berkata perkara itu masih tertakluk kepada keadaan semasa.

Beliau berkata, MBPJ hanya meluluskan pengecualian sewa selama sebulan susulan kejadian banjir yang menjejaskan operasi peniaga terbabit.

“MBPJ turut menanggung kos kerja-kerja pembersihan selepas banjir serta pemasangan sistem amaran banjir yang akan mengeluarkan bunyi siren bagi mengurangkan risiko kejadian berulang.

“Selain itu, projek pembesaran longkang di Medan Selera 223 dijangka siap dalam tempoh kira-kira dua bulan lagi yang kini memasuki peringkat pelantikan kontraktor dan penyediaan reka bentuk sebelum kerja pembinaan dapat dimulakan,” ujarnya lagi.

Seramai 54 peniaga di Medan Selera 223, Seksyen 51A, Petaling Jaya yang terjejas akibat banjir kilat minggu lalu menerima pengecualian sewa selama sebulan daripada MBPJ.

Sebelum ini, Mohamad Zahri memaklumkan pihaknya turut menyediakan diskaun bayaran sewa premis sebanyak 30 peratus kepada semua peniaga terbabit selama enam bulan bermula Julai hingga Disember depan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.