Peniaga Medan Selera 223 dikecuali sewa sebulan, diskaun 30 peratus enam bulan

23 Jul 2026, 11:30 AM
Peniaga Medan Selera 223 dikecuali sewa sebulan, diskaun 30 peratus enam bulan
Peniaga Medan Selera 223 dikecuali sewa sebulan, diskaun 30 peratus enam bulan

SHAH ALAM, 23 JULAI: Seramai 54 peniaga di Medan Selera 223, Seksyen 51A, Petaling Jaya yang terjejas akibat banjir kilat minggu lalu menerima pengecualian sewa sebulan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata pihaknya turut menyediakan diskaun bayaran sewa premis sebanyak 30 peratus kepada semua peniaga terbabit selama enam bulan bermula Julai hingga Disember depan.

“Pada insiden banjir kilat sebelum ini kita beri pengecualian dua bulan sewa kepada peniaga terlibat, dan kali ini kita beri pengecualian sebulan sewa bagi membantu mengurangkan beban mereka.

“Peniaga juga turut mendapat pengurangan sewa sebanyak 30 peratus bermula Julai hingga Disember depan selain semua kerja pembersihan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),” katanya pada sidang media.

Terdahulu, beliau bersama EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim memberi penerangan berhubung Pelan Mitigasi Banjir Petaling Jaya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Mohamad Zahri menambah, MBPJ telah memasang alat pengesan air di longkang saliran Medan Selera 223 bagi mengesan peningkatan air terutamanya ketika hujan lebat berpanjangan.

Malah, katanya, MBPJ turut mengadakan sesi libat urus bersama peniaga sebanyak tiga kali bagi memastikan mereka memahami keadaan sebenar yang berlaku.

“Apabila berlaku banjir, kita adakan sesi libat urus sebanyak tiga kali bersama peniaga kerana kita mahu mereka faham mengapa ia berlaku.

“Longkang sedia ada di kawasan berkenaan mampu menampung taburan hujan 20 milimeter (mm) sahaja, sedangkan hujan yang turun ketika itu adalah 60mm,” katanya.

Minggu lalu, Medan Selera 223 dilanda banjir kilat bagi kali ketiga, selepas insiden sama melanda kawasan terbabit pada April dan Mei lalu.

MBPJ sebelum ini memaklumkan kejadian berkenaan berpunca daripada taburan hujan melebihi 60mm dalam tempoh singkat dari kawasan hulu di Kuala Lumpur.

Hujan luar biasa itu menyebabkan Sungai Penchala gagal menampung aliran air, selain berlaku aliran balik dari Sungai Klang yang mencapai kapasiti maksimum.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.