PETALING JAYA, 22 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengenal pasti tujuh kawasan titik panas yang berisiko dilanda banjir kilat sekiranya hujan lebat berterusan, kata Datuk Bandar Petaling Jaya.
Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata pihaknya memandang serius risiko tersebut dan telah mengambil langkah awal dengan pemasangan pam air di beberapa lokasi terlibat bagi mengurangkan kejadian banjir berulang.
“Kejadian banjir sebelum ini kita dapati ada tujuh kawasan titik panas yang perlu diberi perhatian. Untuk fasa awal ini, bagi tangani kejadian banjir kilat melanda, kita telah letakkan pam di empat kawasan dahulu.
“Isunya adalah kalau jauh dan perlu tarik elektrik, ia mengakibatkan kos meningkat sebab itu fasa pertama ini kita letakkan di empat kawasan dahulu dan selebihnya akan dimasukkan dalam peruntukan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Sanjungan Budi Pesara 2026, yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin di sini, malam tadi.

Mengulas perkembangan berkaitan banjir, Mohamad Zahri berkata MBPJ akan mengadakan pertemuan bersama peniaga di Medan Selera 223 yang terjejas akibat kejadian banjir kelmarin.
“Pertemuan ini akan diadakan bersama ahli majlis bagi mendapatkan punca sebenar masalah terjadi yang beri kesan kepada peniaga,” katanya.
Hujan lebat lebih sejam menyebabkan lapan kawasan di daerah Petaling, Klang dan Kuala Selangor dilanda banjir kilat kelmarin.
Bagaimanapun, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor memaklumkan semua kawasan terjejas telah pulih dan banjir surut sepenuhnya sekitar jam 9 malam hari sama.








