SHAH ALAM, 27 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM8 juta bagi menaik taraf lima taman awam di Damansara Damai secara berfasa, dengan penambahbaikan memberi tumpuan kepada kemudahan asas dan keselamatan pengunjung.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato' Mohamad Zahri Samingon berkata pelaksanaan projek dibuat secara berperingkat berikutan kos pembangunan yang tinggi.
"Kami akan memberi tumpuan kepada kemudahan asas seperti trek joging, taman permainan kanak-kanak dan gazebo," katanya selepas merasmikan pembukaan semula Taman Damai Setia di Jalan PJU 10/1 seperti dilapor StarMetro.
Taman seluas 3.4 hektar itu menjalani kerja naik taraf selama 20 minggu membabitkan kos RM660,000, termasuk penambahbaikan kawasan parkir, pembinaan bangku serta kerja landskap.
Bagi meningkatkan aspek keselamatan, MBPJ akan memasang dua kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kawasan taman.
Mohamad Zahri berkata rakaman CCTV itu bukan sahaja membantu siasatan polis sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, malah digunakan untuk memantau kegiatan vandalisme dan individu yang membuang sampah.

Katanya, tindakan kompaun akan dikenakan terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan berkenaan.
Majlis pembukaan semula taman itu turut disertai murid Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Damansara yang menanam 30 anak pokok sebagai sebahagian daripada usaha menghijaukan kawasan rekreasi berkenaan.
Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling serta Pengarah Jabatan Landskap MBPJ, Dr Badrulzaman Jaafar.
Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Zahri meminta peniaga medan selera di Jalan 223 supaya bersabar sementara menunggu projek mitigasi banjir di kawasan itu disiapkan.
Beliau berkata sistem perparitan sedia ada yang dibina sekitar penghujung 1970-an dan awal 1980-an hanya mampu menampung taburan hujan sekitar 20 milimeter, sedangkan hujan kini mencecah 60 milimeter atau lebih.
Katanya, MBPJ sedang melantik kontraktor untuk menaik taraf sistem saliran itu.
Pada 23 Julai lalu, Media Selangor melaporkan seramai 54 peniaga di Medan Selera 223, Seksyen 51A, Petaling Jaya yang terjejas akibat banjir kilat baru-baru ini akan menerima pengecualian sewa sebulan daripada MBPJ.
Mohamad Zahri berkata pihaknya turut menyediakan diskaun bayaran sewa premis sebanyak 30 peratus kepada semua peniaga terbabit selama enam bulan bermula Julai hingga Disember depan.







