Bayi lahir pada ulang tahun ke-20 Bandar Raya Petaling Jaya dirai MBPJ

22 Jun 2026, 5:06 AM
Bayi lahir pada ulang tahun ke-20 Bandar Raya Petaling Jaya dirai MBPJ

SHAH ALAM, 22 JUN: Seorang bayi yang dilahirkan pada tarikh ulang tahun ke-20 Bandar Raya Petaling Jaya menerima penghargaan istimewa daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi Program Bayi Bandar Raya.

Datuk Bandar Petaling Jaya berkata bayi kepada pasangan dari Sri Lanka itu menerima sumbangan barangan keperluan bayi serta keahlian percuma Perpustakaan Komuniti MBPJ seumur hidup menerusi Program Bayi Bandar Raya.

Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata program berkenaan bukan sahaja meraikan kelahiran baharu, malah mencerminkan komitmen MBPJ dalam mengukuhkan hubungan dengan komuniti setempat.

"Setiap kelahiran merupakan simbol harapan dan masa depan. Melalui program ini, MBPJ ingin berkongsi kegembiraan bersama keluarga serta menyemai rasa bangga dan kecintaan terhadap Petaling Jaya dalam kalangan generasi baharu," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, beliau mengunjungi Hospital Columbia Asia di Petaling Jaya bagi menyampaikan sendiri cenderahati kepada keluarga bayi berkenaan.

Ibu bapa kepada bayi yang berkongsi tarikh lahir dengan ulang tahun ke-20 Bandar Raya Petaling Jaya menerima cenderahati daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Hospital Columbia Asia, Petaling Jaya pada 21 Jun 2026. Foto Majlis Bandaraya Petaling Jaya

Petaling Jaya dinaik taraf sebagai bandar raya pada 20 Jun 2006 dan kini mempunyai keluasan pentadbiran 97.2 kilometer persegi dengan populasi 829,865 penduduk serta 292,680 pegangan harta.

Sempena sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20, MBPJ turut menawarkan keahlian percuma Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya kepada orang ramai bermula 20 hingga 22 Jun.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.