SHAH ALAM, 23 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim mengemukakan bantahan rasmi kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berhubung cadangan pembinaan pusat data komersial di Kota Damansara dan akan membangkitkan perkara itu pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang akan datang.
Izuan berkata beliau mengambil maklum kebimbangan dan bantahan yang disuarakan penduduk terhadap cadangan pembangunan berkenaan.
"Pejabat saya telah mengemukakan bantahan rasmi kepada MBPJ berhubung cadangan pusat data tersebut.
"Kami juga bekerjasama rapat dengan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengumpulkan kajian kes serta maklumat berkaitan isu ini," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata perbincangan turut diadakan dengan pihak berkuasa berkaitan dan MBPJ dijangka memberi maklum balas dalam masa terdekat.
Cadangan pembinaan pusat data komersial itu mencetuskan kebimbangan penduduk mengenai kesannya ke atas kawasan hijau, biodiversiti dan komuniti setempat.

Penduduk turut mempersoalkan tempoh bantahan awam yang dibuka dari 21 hingga 27 Julai kerana disifatkan terlalu singkat.
Mengulas perkara itu, Izuan berkata tempoh yang diberikan tidak mencukupi untuk membolehkan penyertaan awam dilakukan secara bermakna.
"Tempoh yang diperuntukkan kepada orang ramai untuk mengemukakan bantahan adalah terlalu singkat dan tidak mencukupi," katanya.
Beliau menegaskan akan terus memantau perkembangan isu berkenaan.
"Saya akan terus mengikuti proses ini dengan teliti dan akan membangkitkan isu ini pada sidang DUN yang akan datang.
"Pusat data sepatutnya dicadangkan di kawasan perindustrian, bukan di kawasan perumahan," katanya.
Pada 17 Julai lalu, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata cadangan pembinaan pusat data itu akan dibawa ke Kabinet susulan kebimbangan yang dibangkitkan penduduk.
Menteri Sumber Manusia itu memaklumkan perkara tersebut akan dibincangkan bagi mewujudkan garis panduan dan mekanisme yang lebih menyeluruh berkaitan penempatan pusat data, khususnya berhampiran kawasan perumahan.
Beliau turut mengemukakan surat bantahan rasmi kepada Datuk Bandar Petaling Jaya pada 15 Julai bagi menyatakan pendirian membantah cadangan pembangunan berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, beliau masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada MBPJ.








