Taman Rakyat MADANI Selangor jadi hab rekreasi baharu Selayang

27 Jul 2026, 4:00 AM
Taman Rakyat MADANI Selangor jadi hab rekreasi baharu Selayang
Taman Rakyat MADANI Selangor jadi hab rekreasi baharu Selayang
Taman Rakyat MADANI Selangor jadi hab rekreasi baharu Selayang

SHAH ALAM, 27 JULAI: Taman Rakyat MADANI Selangor di Laman BBS, Bandar Baru Selayang kini menjadi pusat rekreasi baharu yang menawarkan pelbagai kemudahan bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan komuniti setempat.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memaklumkan taman berkenaan dilengkapi trek riadah, gelanggang berbumbung bagi aktiviti bola jaring, bola tampar dan futsal, selain tandas awam serta laman interaktif untuk kegunaan pengunjung.

Menurut MPS, taman itu turut dilengkapi komponen bandar pintar menerusi sebuah Smart Bin dan sebuah Panic Button bagi meningkatkan aspek kebersihan, keselamatan serta keselesaan pengunjung.

"Taman ini turut dilengkapi dengan komponen bandar pintar iaitu sebuah Smart Bin dan sebuah Panic Button bagi meningkatkan aspek kebersihan, keselamatan serta keselesaan pengunjung," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Tambah MPS, kemudahan itu bukan sahaja menyediakan ruang rekreasi yang kondusif, malah menggalakkan interaksi sosial dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk Bandar Baru Selayang dan kawasan sekitarnya.

Terdahulu, Taman Rakyat MADANI Selangor dirasmikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer Anfaal Saari dalam sebuah majlis anjuran MPS menerusi Jabatan Landskap dengan kerjasama DUN Taman Templer.

Sejurus majlis perasmian, Anfaal bersama Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen dan Yang Dipertua MPS Shahman Jalaludin mengadakan sesi walkabout bagi meninjau kemudahan di sekitar taman tersebut.

"Bagi memeriahkan program, pelbagai aktiviti diadakan antaranya sukan rakyat, pickleball dan pertandingan bola jaring shootout yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat," menurut pihak berkuasa tempatan itu.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.