MPAJ selesai masalah banjir kilat Tasik Permai selepas 20 tahun

26 Jul 2026, 2:00 PM
MPAJ selesai masalah banjir kilat Tasik Permai selepas 20 tahun

SHAH ALAM, 26 JULAI: Projek menaik taraf sistem saliran sepanjang hampir satu kilometer di Tasik Permai, Ampang berjaya menamatkan masalah banjir kilat yang membelenggu penduduk sejak hampir dua dekad.

Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 19, Mohammad Firdaus Babh berkata projek yang siap kira-kira tiga bulan lalu membabitkan kerja menaik taraf dan menyusun semula sistem saliran dari Bukit Ampang hingga Jalan Permai 1.

"Hasil lawatan bersama Ahli Dewan Negeri (ADN)Teratai, Yew Jia Haur kira-kira tiga bulan lalu membawa kepada pelaksanaan projek besar oleh MPAJ. Alhamdulillah, selepas projek itu siap, Tasik Permai kini bebas daripada banjir kilat," katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, masalah berkenaan berpunca daripada sistem saliran berusia lebih 30 tahun yang tidak lagi mampu menampung aliran air, selain faktor bentuk muka bumi yang berbukit.

"Saya sudah berada di kawasan ini hampir 15 tahun dan menganggarkan masalah ini berlarutan hampir 20 tahun.

"Kawasan yang sering dilanda banjir sebelum ini ialah Jalan Permai J, Jalan Permai K, Lorong Permai 18 hingga 21 serta Jalan Permai 1," katanya.

Firdaus berkata banjir kilat yang kerap berlaku turut menjejaskan operasi Pusat Khidmat Masyarakat Zon 19 sehingga pejabatnya terpaksa dipindahkan ke lokasi lain.

"Saya sendiri terpaksa memindahkan pejabat dari Dewan Permai B ke Dewan Permai D kerana kawasan itu sering dinaiki air.

"Kami berterima kasih kepada ADN Teratai yang prihatin terhadap masalah penduduk serta MPAJ yang berjaya melaksanakan projek ini," katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.