SHAH ALAM, 19 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merobohkan sebuah pondok haram di Padang Jalan Mewah 4 (Blok A7), Pandan Mewah susulan aduan orang awam berhubung pembinaan struktur tanpa kebenaran.
MPAJ memaklumkan pemeriksaan mendapati pondok berkenaan dijadikan tempat mengumpul barang kitar semula dan memelihara burung, selain menjadi lokasi warga asing berkumpul.
Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati tiada aktiviti kediaman atau tempat tinggal yang aktif di kawasan tersebut.
"MPAJ memandang serius sebarang pembinaan struktur tanpa kebenaran di atas tanah awam, terutamanya yang boleh mencetuskan ketidakselesaan atau mengganggu ketenteraman komuniti kita," katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi bersepadu bermula jam 9 pagi itu dilaksanakan Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ dengan kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM).
Turut terlibat ialah Jabatan Belia, Masyarakat dan Landskap MPAJ serta anggota KDEBWM Cawangan Ampang.
Menurut MPAJ, kerja perobohan dan pembersihan menggunakan dua jengkaut miliknya serta enam tong RORO daripada KDEB bagi menguruskan sisa binaan, semak samun dan barang kitar semula.
"Jabatan Penguatkuasaan MPAJ turut mengambil tindakan membersihkan 18 sangkar burung dan 20 perangkap burung yang berada di lokasi bersebelahan kawasan pembersihan," katanya.

MPAJ turut memaklumkan kawasan berkenaan akan dipantau dari semasa ke semasa, selain merancang langkah bersesuaian bagi mengelakkan penyalahgunaan kawasan lapang itu berulang.
Orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan struktur haram dan isu kebersihan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam Selangor (SISPAA) atau talian bebas tol MPAJ, 1800-22-8100.









