SHAH ALAM, 7 OGOS: Program Baucar Kita Selangor melalui inisiatif Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor menerima sambutan menggalakkan dengan 16,069 permohonan diterima sehingga Julai lalu, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri kini sedang mempermudah proses kelulusan permohonan dengan mengurangkan syarat pengesahan pendapatan yang sebelum ini menjadi antara faktor utama kelewatan kelulusan.
Menurutnya lagi, setakat ini hanya 1,146 permohonan diluluskan susulan keperluan verifikasi dan pengesahan gaji yang dikenakan sebelum ini.
“Sebelum ini, kelulusan memerlukan verifikasi dan pengesahan gaji. Disebabkan syarat itu, hanya sekitar 1,146 permohonan berjaya diluluskan.
“Insya-Allah, mengikut arahan terbaharu Kerajaan Negeri, menjelang Ogos ini kita menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 hingga 12,000 permohonan diluluskan bagi membolehkan pengagihan Baucar Kita Selangor dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron yang ingin mengetahui tahap pelaksanaan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Amirudin menambah, program berkenaan akan diurus tadbir oleh Selcare bagi memastikan proses kelulusan dan pengagihan baucar dapat dilaksanakan dengan lebih cekap serta memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat yang layak.
Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM355.06 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dan Fasa 2 bagi mendepani kesan krisis bekalan susulan konflik di Asia Barat.
Daripada jumlah itu, RM145.8 juta diperuntukkan bagi Fasa 1 yang sedang dilaksanakan menerusi tujuh inisiatif, manakala RM209.26 juta lagi disalurkan untuk Fasa 2 yang merangkumi 15 inisiatif baharu.
Baucar Kita Selangor merupakan antara inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta bagi membantu rakyat menghadapi kesan ketidaktentuan ekonomi susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Seramai 50,000 penerima akan dipilih berdasarkan data yang diperoleh daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.







