SABAK BERNAM, 26 JULAI: Kesedaran memelihara alam sekitar perlu dipupuk sejak di bangku sekolah bagi memastikan khazanah biodiversiti dan ekologi di Sabak Bernam terus terpelihara.
EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato' Ng Suee Lim berkata usaha itu dilaksanakan menerusi penglibatan menyeluruh institusi pendidikan bagi membudayakan amalan hijau dalam kalangan generasi muda.
"Tujuannya adalah untuk menerapkan elemen kehijauan kepada semua warga Sabak Bernam. Daerah ini mempunyai biodiversiti dan ekologi yang masih terpelihara serta menjadi antara khazanah alam penting di utara Selangor," katanya.
Beliau ditemui Media Selangor selepas menyempurnakan pelepasan larian Green Healthy Fun Run sempena Majlis Penutupan Komuniti Hijau Sabak Bernam 2026 di Dataran Tonggak 10, semalam.
Suee Lim berkata usaha berkenaan perlu diperkukuh memandangkan Sabak Bernam merupakan kawasan agropolitan dan jelapang padi utama Selangor.
"Atas sebab itu, kesedaran untuk memelihara alam sekitar perlu diterapkan terutama kepada generasi muda supaya mereka menghargai khazanah yang dimiliki daerah ini," katanya.
Beliau berkata sambutan terhadap program kelestarian juga semakin menggalakkan dengan penyertaan aktif pelajar kolej dan sekolah menengah.
"Setakat ini sambutannya semakin baik dan semakin ramai yang mengambil bahagian, khususnya pelajar kolej serta sekolah menengah.
"Mereka sudah ada kesedaran. Apabila kita terus memberi penekanan, mereka akan lebih cakna terhadap kepentingan memelihara alam sekitar," katanya.
Program anjuran Politeknik Sultan Idris Shah itu turut diisi dengan pameran saringan kesihatan, promosi institusi, Jualan Rahmah, pertandingan mewarna kanak-kanak serta gimik Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Sabak Bernam 2026.









