Bot nelayan guna 18 kru warga asing tanpa kebenaran ditahan

1 Okt 2026, 9:30 AM
Bot nelayan guna 18 kru warga asing tanpa kebenaran ditahan

SHAH ALAM, 1 OKT: Sebuah bot nelayan tempatan yang menggunakan khidmat 18 kru warga asing tanpa kebenaran ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di perairan Sabak Bernam, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata bot kelas C itu ditahan kira-kira 9.4 batu nautika barat daya Tanjung Sauh pada jam 2.50 pagi ketika dalam perjalanan ke Pangkalan Sungai Besar.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang tekong tempatan berusia 50 tahun bersama 19 awak-awak, termasuk seorang warga tempatan berusia 52 tahun.

“Daripada jumlah itu, 18 kru warga asing terdiri daripada seorang warga Thailand, tiga warga Indonesia dan 14 warga Myanmar berusia antara 20 hingga 48 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 13 kru warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala lima lagi mempunyai dokumen pengenalan diri atau pasport yang sah.

“Bagaimanapun, kesemua kru warga asing gagal mengemukakan permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di atas bot terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bot bersama tekong dan semua kru kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat lesen dengan menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran.

Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 berhubung kegagalan sebahagian kru warga asing mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.