KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Sambutan Jubli Perak Tourism Selangor terus disemarakkan menerusi penganjuran Selangor Travel Fair (STF) 2026 yang menghimpunkan kira-kira 40 pempamer pelancongan di Pasar Seni, di sini, selama dua hari bermula hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata penganjuran bertemakan 'Silver in Motion' itu melambangkan perjalanan 25 tahun agensi berkenaan dalam membangunkan industri pelancongan negeri menerusi kerjasama erat bersama pemain industri dan rakan strategik.
Beliau berkata, STF 2026 yang dianjurkan buat kali kedua di Pasar Seni dijangka menarik lebih 40,000 pengunjung sepanjang dua hari program berlangsung.
"Selama 25 tahun, Tourism Selangor terus bekerjasama rapat dengan pemain industri dan rakan strategik untuk membangunkan produk pelancongan, menganjurkan acara berimpak tinggi serta mempromosikan keunikan Selangor.
"Kami yakin dengan semangat kerjasama dan sokongan berterusan daripada semua pihak, Selangor akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan terkemuka di Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Selangor Travel Fair 2026, hari ini.
Yee Ling berkata penganjuran itu turut menjadi platform menghimpunkan pelbagai produk dan destinasi pelancongan Selangor, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan tawaran serta promosi eksklusif daripada pemain industri.
Antara pempamer yang mengambil bahagian ialah Selangor Fruit Valley, Farm In The City, GL Play by Gamuda Land, Geopark Gombak-Hulu Langat, Heritaste Jenjarom, Wyndham Acmar Klang Hotel, Windmill Funpark dan Amverton Cove Golf & Island Resort, selain pengusaha dalam sektor hospitaliti, ekopelancongan, agropelancongan serta rekreasi.
Beliau turut mengajak semua pihak terus berganding bahu mempromosikan produk dan destinasi pelancongan Selangor bagi memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama negara.
Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan kebudayaan, bengkel kreatif, sesi videografi, podcast secara langsung, pemeriksaan kesihatan percuma serta promosi pelancongan eksklusif.
Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis tempatan seperti Wani Kayrie, Mohsein Kus Puteri Haffira (Ella Junior), Hussain Jamalulhayat, Mamat Exists dan Kumpulan Bob Sentuhan pada malam ini.







