CYBERJAYA, 1 NOV: Seramai 5,826 peserta menyertai Selangor Marathon (SELMAR) 2026 termasuk 42 peserta antarabangsa dari Amerika Syarikat, United Kingdom, negara Afrika, Perancis, Vietnam dan Indonesia.
Penolong Pengurus Acara dan Pelancongan Fokus Tourism Selangor, Harith Hadziq Shaik Mohd Sheriff berkata penganjuran itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelancongan sukan.
Menurutnya, acara berkenaan turut mengetengahkan makanan dan persembahan tradisional bagi memperkenalkan keunikan budaya negeri kepada pengunjung.
“Penyertaan dalam pelbagai kategori ini bukan sahaja menyemarakkan aktiviti sukan, malah menggalakkan gaya hidup sihat serta mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelancongan.
“Acara ini juga memberi ruang kepada komuniti termasuk kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) untuk turut serta dalam aktiviti larian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada SELMAR 2026 di Persiaran Flora, hari ini.
Harith Hadziq berkata acara itu turut mendapat sokongan komuniti cerebral palsy menerusi Bikeisable, dengan penyertaan kanak-kanak OKU menggunakan kerusi roda khas.
Dalam pada itu, beliau berkata kehadiran peserta antarabangsa turut memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat menerusi sektor penginapan, makanan dan pelancongan.
“Pengunjung antarabangsa bukan sahaja menyertai larian tetapi turut berpeluang meneroka lokasi menarik, menikmati makanan tempatan dan mengenali budaya Selangor.
“Kita turut mengetengahkan makanan tradisional dari daerah Sepang serta persembahan kumpulan Bale Bale dan Bhangra bagi menampilkan keunikan budaya Selangor khususnya kepada pengunjung antarabangsa,” katanya.
SELMAR 2026 menawarkan empat kategori larian iaitu 42 kilometer (km), 21km, 10km dan 5km, termasuk penyertaan kanak-kanak berkeperluan khas bersama ibu bapa menggunakan kerusi roda khas.










