SHAH ALAM, 1 OCT: Kehadiran peminat Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain meningkatkan permintaan penginapan di sekitar Sepang, dengan sebahagian pengunjung mula mencari hotel hingga ke Putrajaya, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata kebanyakan hotel di sekitar Sepang kini hampir penuh, termasuk penginapan berhampiran IOI City Mall yang turut menempatkan kakitangan perlumbaan.
Menurutnya, limpahan tempahan turut dirasai hotel di kawasan sekitar apabila peminat dari dalam dan luar negara mula tiba bagi menyaksikan perlumbaan itu.
Beliau berkata kesannya turut dapat dilihat menerusi platform Trip.com yang merekodkan lonjakan ketara carian penginapan selepas pengumuman F1 kembali diadakan di negara ini.
"Sebagai contoh, pada hari pengumuman itu, jumlah carian penginapan bagi “Sepang” dan “Kuala Lumpur” di platform berkenaan melonjak 1,600 kali ganda, tidak termasuk platform tempahan lain dan tempahan terus kepada hotel," katanya kepada Media Selangor.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kehadiran pelumba dan pasukan F1 turut memberi nilai promosi kepada Selangor apabila ada dalam kalangan mereka mengunjungi lokasi pelancongan negeri.
Antaranya, pelumba Mercedes Andrea Kimi Antonelli dan pelumba Finland Valtteri Bottas yang memuat naik kandungan media sosial ketika mengunjungi Splash Mania Water Park serta berbasikal di Gold Coast Resort.
“Kimi ialah pelumba terkenal di peringkat antarabangsa, begitu juga Valtteri Bottas. Kini mereka sendiri mengunjungi tempat menarik di Selangor dan berkongsi pengalaman melalui media sosial, memainkan ‘kesan selebriti’, yang sudah pasti merupakan promosi sangat bernilai untuk Selangor.
“Satu hantaran daftar masuk mereka membawa pendedahan lebih besar daripada banyak kempen promosi kita. Ia bukan sahaja menarik perhatian peminat perlumbaan dan pelancong global dengan pantas, malah secara tidak langsung meningkatkan reputasi dan membawa kesan ekonomi besar kepada industri pelancongan,” katanya.
Yee Ling berkata persiapan menghadapi perlumbaan turut melibatkan kawalan lalu lintas termasuk penambahan anggota polis, manakala penonton digalakkan menggunakan pengangkutan awam atau e-hailing sebelum menaiki bas perantara ke litar.

“Ini secara tidak langsung meningkatkan permintaan perkhidmatan e-hailing dan teksi, seterusnya merangsang aktiviti ekonomi dalam sektor pengangkutan,” katanya.
Beliau berkata Tourism Selangor turut mahu memanfaatkan tempoh antara GP F1 Gulf Air Bahrain (2 hingga 4 Oktober) dan GP F1 Singapura 2026 yang berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober bagi menggalakkan pelancong terus berada di Selangor.
“Kami sebelum ini juga menjalankan aktiviti promosi, termasuk bekerjasama dengan hotel dan pengusaha pelancongan untuk menawarkan pakej pelancongan dan peta pelancongan tempat-tempat menarik di sekitar Sepang,” katanya.
Tourism Selangor turut mempergiat promosi melalui Facebook, Instagram dan TikTok bagi mengetengahkan Sepang serta destinasi pelancongan sekitar menjelang perlumbaan.






