Pasar Borong Selangor beroperasi seperti biasa - PKPS

25 Jul 2026, 9:34 AM
Pasar Borong Selangor beroperasi seperti biasa - PKPS
Pasar Borong Selangor beroperasi seperti biasa - PKPS

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kebakaran yang berlaku di Pasar Borong Selangor (PBS), Seri Kembangan pada malam Khamis lalu tidak menjejaskan operasi dan urusan perniagaan berjalan lancar seperti biasa.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dalam kenyataan memaklumkan kebakaran itu berlaku di bahagian hujung kawasan pasar borong dan tidak melibatkan bangunan utama yang menempatkan operasi harian serta aktiviti perniagaan.

Menurut PKPS, berdasarkan maklumat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, kebakaran berkenaan berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 6 pagi.

"Operasi pemadaman di lokasi kejadian pula telah ditamatkan pada jam 6 petang hari yang sama.

"Kawasan Pasar Borong Selangor kini disahkan selamat dan operasi harian diteruskan seperti biasa," menurut kenyataan perbadanan itu hari ini.

Bagi memastikan pengurusan insiden berjalan lancar, PKPS turut mengaktifkan Pusat Pengurusan Krisis yang beroperasi 24 jam bagi memantau perkembangan semasa serta menyelaras tindakan susulan.

Pada masa sama, PKPS memaklumkan pihaknya menjalin kerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

PKPS turut merakamkan penghargaan kepada JBPM serta semua agensi yang terlibat atas tindakan pantas mengawal dan memadamkan kebakaran.

"Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau maklumat yang tidak sahih berkaitan insiden berkenaan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh," katanya.

Kebakaran membabitkan Blok B4 pasar borong itu, iaitu bangunan kelas B berkeluasan 100 kaki × 100 kaki yang menempatkan tiga premis, masing-masing sebuah kedai menjual perkakasan katering dan barangan dapur, kedai menjual telur serta kedai perkakasan.

Seramai 68 anggota bomba dengan kekuatan 16 jentera terlibat dalam operasi pemadaman dengan bantuan anggota daripada 13 balai bomba, termasuk dari Bukit Jalil, Presint 7, Bandar Tun Hussein Onn, Petaling Jaya, Bangi, KLIA, Keramat, Hang Tuah, Hartamas, Cyberjaya, Bukit Jelutong, Subang Jaya dan Damansara.

Operasi turut dibantu 67 anggota daripada 11 Pasukan Bomba Sukarela, selain anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan pasukan keselamatan Pasar Borong Selangor.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.