SHAH ALAM, 25 JULAI: Siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran Pasar Borong Selangor di sini akan dimulakan pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Ashbar, berkata tapak kejadian diserahkan kepada Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor petang semalam.
“Penilaian awal oleh pegawai penyiasat bersama Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM dimulakan petang semalam. Disebabkan keadaan dalam kawasan yang masih berbahang dan panas, K9 tidak boleh memasuki kawasan ‘hotspot’.
"Sehubungan itu, Bahagian Penyiasatan Kebakaran akan memulakan siasatan pada Isnin ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berhubung elemen khianat atau kecuaian hingga berlaku insiden kebakaran itu, beliau menjelaskan perkara itu masih dalam siasatan.
Semalam, dua anjing pengesan JBPM iaitu Rusty dan Sam, digerakkan ke lokasi kebakaran bagi membantu siasatan forensik bagi mengenal pasti punca kebakaran.
Kedua-dua anjing terlatih daripada baka Cocker Spaniel dan Springer Spaniel itu kemudian memulakan pencarian di celah runtuhan serta sisa kebakaran bagi membantu mengenal pasti punca kebakaran dengan memakai but keselamatan khas.
Kebakaran membabitkan Blok B4 pasar borong itu, iaitu bangunan kelas B berkeluasan 100 kaki × 100 kaki yang menempatkan tiga premis, masing-masing sebuah kedai menjual perkakasan katering dan barangan dapur, kedai menjual telur serta kedai perkakasan.
Kebakaran memusnahkan kira-kira 90 peratus premis berkenaan berjaya dipadamkan pada jam 6.35 pagi semalam selepas operasi pemadaman sepanjang malam.
Kerja punggahan sisa bahan bakar kemudian dijalankan dengan bantuan jengkaut bagi memudahkan siasatan serta kerja akhir pemadaman.
Kerja berkenaan selesai jam 5 petang semalam dengan pemeriksaan mendapati tiada mangsa serta tiada lagi punca api merebak di lokasi.







