Kerajaan teliti pengesahan umur pengguna Roblox, permainan dalam talian

19 Okt 2026, 12:14 PM
Kerajaan teliti pengesahan umur pengguna Roblox, permainan dalam talian

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Kerajaan akan meneliti kesesuaian untuk memperluas pelaksanaan pengesahan identiti secara elektronik (eKYC) dan pengesahan umur kepada platform permainan dalam talian seperti Roblox, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata langkah itu akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk isu membabitkan pengguna bawah umur dan kemungkinan platform berkenaan disalahgunakan oleh kumpulan pelampau, ekstremis serta keganasan.

“Dalam sesi perbincangan saya dengan pihak Roblox, sebagai contoh, sejak tahun lepas menunjukkan bahawa mereka bersedia untuk bekerjasama... isu mungkin hanya dari segi pengesahan pengguna dan umur pengguna.

“Jadi, kita akan teliti kesesuaian untuk mengembangkan aspek eKYC dan pengesahan umur kepada platform seperti Roblox,” katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran dokumen pembiayaan bernilai RM5.2 bilion bagi Digital Nasional Bhd (DNB) di sini hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung isu berkenaan yang turut merangkumi kanak-kanak bawah umur.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil. Foto BERNAMA

Menurut beliau, kerajaan termasuk melalui Majlis Keselamatan Negara, menjalankan pemantauan berterusan terhadap platform yang mungkin disalah guna oleh kumpulan terbabit.

Beliau berkata tindakan akan diambil oleh pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, sekiranya terdapat keperluan.

“Kita akan ambil kira pelbagai aspek tetapi sekiranya ada tindakan pantas yang perlu dilaksanakan, itu sudah pasti akan diambil oleh pihak berkuasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata beliau akan membincangkan pelaksanaan usaha sekatan umur bagi pengguna media sosial dengan rakan sejawatnya semasa lawatan ke Indonesia.

Beliau dijadualkan berlepas ke Bali petang ini sebelum ke Jakarta esok bagi menghadiri Persidangan Dunia Ekonomi Kreatif (WCCE) 2026 serta mengadakan beberapa siri pertemuan termasuk dengan menteri yang bertanggungjawab terhadap komunikasi dan digital serta kebudayaan.

“Indonesia mempunyai caranya tersendiri, kerangka kawal selianya tersendiri dan ada perbezaan serta persamaan dengan Malaysia.

“Kita akan berbincang untuk melihat cabaran yang dihadapi dalam perbincangan dengan penyedia perkhidmatan platform media sosial ini,” katanya.

Fahmi berkata pertemuan dengan Menteri Kebudayaan Indonesia pula antara lain akan membincangkan hasrat Malaysia untuk membawa harta intelek (IP) tempatan bagi tontonan warga Indonesia.

Beliau berkata terdapat karya Malaysia ditayangkan menerusi platform penstriman seperti Viu yang turut ditonton oleh masyarakat di negara jiran itu.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kedua-dua pihak akan meneliti cara untuk merapatkan hubungan antara rangkaian pawagam Malaysia dan Indonesia serta membincangkan produksi yang menayangkan kandungan dalam talian.

“Kita juga akan bincangkan, insya-Allah, usaha kerjasama antara syarikat produksi, filem dan kandungan kreatif,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.