PUTRAJAYA, 16 OKT: Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) akan dijenamakan semula sebagai PeKa Sihat, susulan penambahbaikan pelaksanaannya antara lain bertujuan mengurangkan kesesakan di klinik kesihatan awam, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata Jemaah Menteri hari ini bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap program di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) itu, selepas mengambil kira keberkesanannya dalam menangani isu penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Hari ini Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan pindaan kepada program PeKa B40 di bawah KKM, mengambil kira ia sangat berkesan untuk mengatasi masalah penyakit tidak berjangkit.
“Ada beberapa perkara yang sedang diselaras oleh KKM untuk membolehkan PeKa B40 ini lebih berkesan, termasuk untuk mengurangkan kesesakan di klinik-klinik kesihatan dengan mengguna pakai premis-premis ataupun klinik-klinik yang terlibat dalam program PeKa B40,” katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.
Fahmi berkata perincian lanjut mengenai penambahbaikan program itu akan diumumkan oleh KKM.
PeKa B40 dikendalikan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) di bawah KKM, untuk menyediakan saringan kesihatan percuma serta sokongan rawatan NCD bagi golongan berpendapatan rendah.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Jemaah Menteri hari ini menerima pembentangan daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengenai laporan awal berhubung nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada 8 Sept lepas.
“Memandangkan ia laporan awal, maka kita perlu tunggu laporan penuh,” katanya.
Nahas helikopter FDS di Long Lellang itu mengorbankan lima individu termasuk empat petugas kesihatan yang sedang menjalankan tugas rasmi bagi memberikan perkhidmatan kepada masyarakat pedalaman Sarawak.







