SHAH ALAM, 24 JULAI: Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengarahkan tindakan membanteras kegiatan warga asing yang menceroboh tanah milik kerajaan serta menjalankan aktiviti perniagaan secara tidak sah di Selangor dipergiat.
Arahan itu dikeluarkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor bersama agensi berkaitan bagi membincangkan isu keselamatan dan ketenteraman awam yang memerlukan tindakan bersepadu.
"Saya mengarahkan tindakan membanteras kegiatan warga asing yang menceroboh tanah milik Kerajaan serta terlibat dalam aktiviti perniagaan secara tidak sah.
"Tindakan penguatkuasaan akan terus diperkukuhkan melalui kerjasama rapat semua agensi berkaitan bagi memastikan kedaulatan undang-undang sentiasa dipelihara," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata mesyuarat itu turut memberi perhatian kepada isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pelarian di Selangor.

"Ini termasuk individu yang berdaftar serta tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)," katanya.
Menurut Amirudin, kehadiran golongan berkenaan di beberapa lokasi menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat, sekali gus memerlukan penyelarasan lebih berkesan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
"Kerajaan Negeri akan terus memberikan komitmen penuh untuk memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan menerusi pendekatan yang tegas, tersusun serta berpandukan undang-undang," katanya.








